Thursday, November 26, 2009

PERUTUSAN AIDIL ADHA 1430


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad, ahli keluarganya, para sahabatnya, para tabi'in dan muslimin yang mengikuti jejak mereka dengan ihsan.
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Alangkah beruntungnya kita pada hari ini. Kita berada di salah satu dari dua hari perayaan yang dianugerahkan Allah kepada umat Muhammad sebagai ganti kepada dua perayaan jahiliah silam. Saya bagi pihak DEWAN PEMUDA PAS NEGERI TERENGGANU mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua dengan kehadiran hari yang mulia ini. Moga-moga Allah menerima amalan kita dan amalan semua muslimin yang merayakan hari ini dengan penuh kesyukuran di dalam batasan syariat yang ditetapkan oleh Allah.

Muslimin muslimat yang dikasihi sekelian,

Kita sudah pun melepasi 10 hari terawal dalam bulan Zulhijjah. Beruntunglah sesiapa yang mengisinya dengan puasa dan tilawah. Berbahagialah sesiapa yang mengisinya dengan zikir dan istighfar. Sabda Rasulullah s.a.w. sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a.:

"Tidak ada hari di mana amal soleh yang dilakukan di dalam hari tersebut lebih dicintai oleh Allah daripada hari-hari ini (10 hari terawal bulan Zulhijjah)." Sahabat bertanya: "Walau pun jihad wahai Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Walau pun jihad di jalan Allah. Kecuali pahala seorang pemuda yang keluar berjihad dengan diri dan hartanya, kemudian dia tidak pulang dan hartanya juga tidak pulang." (Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

Kita mencemburui muslimin lain yang dikurniakan Allah peluang kepada mereka untuk mengerjakan haji di Baitullah. Mereka mengorbankan harta mereka di jalan Allah. Mereka mengorbankan kerehatan mereka untuk menunaikan ibadah badaniah yang berat ini. Perjalanan yang panjang, tidur yang tidak menentu, makan yang tidak berjadual, penyakit yang mengejar mereka dan lain-lain kesukaran yang mereka lalui.



Walau pun begitu Rasulullah s.a.w. telah mengajar umatnya yang tidak menunaikan ibadah haji agar berusaha mengejar pahala yang dikurniakan kepada mereka yang menunaikan haji.

Di antaranya puasa pada 9 hari terawal Zulhijjah termasuk hari Arafah.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Aasyura’, 9 hari terawal bulan Zulhijjah, tiga hari dalam sebulan, dua Isnin dan Khamis terawal dalam sebulan.” (Riwayat Nasa’ie dan Ahmad)

Memandangkan perutusan ini dibuat di saat berlalunya sembilan hari awal Zulhijjah, maka ibadah besar yang masih ada ialah menunaikan ibadah korban selepas menunaikan solat sunat Aidil Adha. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Tidak ada satu amalan anak Adam pada hari Raya Korban yang lebih disukai oleh Allah melebihi amalan menyembelih binatang korban. Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat nanti beserta tanduk, kuku dan bulunya. Darah binatang korban tersebut akan jatuh di satu lantai kemuliaan di sisi Allah sebelum jatuh ke tanah. Maka berbahagialah jiwa dengannya.” (Riwayat Al-Hakim, Ibnu Majah dan Termizi)

Di antaranya bertakbir bermula dari subuh hari Arafah sehingga ke akhir hari Tasyriq. Firman Allah:

"Dan berzikirlah kepada Allah pada hari-hari yang tertentu (Arafah sehingga ke hari Tasyriq...)" (Al-Baqarah: 203)

Di antaranya menunaikan solat sunat Aidil Adha secara berjemaah di kawasan lapang. Firman Allah:

"Maka bersembahyanglah menghadap Tuhanmu dan lakukanlah korban." (Al-Kauthar: 2)

Di antara berjalan menuju ke tempat solat Aidil Adha dan balik melalui jalan yang berlainan kerana itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Di antaranya makan daging korban yang disedekahkan oleh sesiapa yang melakukan korban. Ibnu Qayyim berkata di dalam Zadul Maad:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak menjamah makanan sehinggalah Baginda s.a.w. pulang dari masjid lalu Baginda s.a.w. menjamah daging korban."

Di antaranya mengucapkan tahniah kepada semua muslimin yang ditemui kerana itulah amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. kepada pada sahabatnya r.a.

Di antaranya menjauhi diri dari merayakan Aidil Adha dengan perbuatan yang haram; tidak menonton wayang, tidak melakukan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, tidak mendengar lagu-lagu yang haram dan lain-lain kemungkaran lain.

Hari ini adalah hadiah dari Allah, sambutlah ia dengan amalan taat. Lakukanlah ziarah, rapatkanlah hubungan sesama muslim, gembirakanlah golongan miskin dengan bersedekah kepada mereka dan lakukanlah ibadah dengan sebaiknya.

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Dalam kita bergembira menyambutt Aidil Adha, jangan pula kita lupa kepada mereka yang tidak bernasib baik di musim banjir sekarang ini. Sama-sama lah kita menghayati erti pengorbanan yang sebenarnya. Islam mengajar kita menghulurkan bantuan dari harta benda kita kepada yang memerlukan tidak kira apa bangsa dan agamanya, kerana Imam Nawawi pernah mensyarahkan hadis "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia menyayangi apa yang ada pada saudaranya (sebagaimana)apa yang dia sayangi bagi dirinya.", dengan mengisyaratkan bahawa saudara di sini haruslah diperluaskan skopnya kepada seluruh manusia tidak mengira agamanya. Inilah persaudaraan kemanusiaan. Marilah kita selaku orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat beriltizam untuk membantu mangsa-mangsa banjir ini dengan harta benda dan tenaga yang kita miliki.

Moga-moga Allah menerima amalan kita dan amalan seluruh muslimin.

Ya Allah, ampunilah dosa kami, dosa ibu bapa kami, dosa muslimin dan muslimat samada yang masih hidup atau yang telah mati. Amin ya Rabbal Alamin.

Tuesday, November 24, 2009

KULIAH IBADAH KORBAN

Perkukuhkan Parti ....


Perkukuhkan Parti ....

Perkukuhkan Parti
Perkasakan Tarbiyyah

1. Parti Islam Se Malaysia [ PAS ] adalah sebuah Gerakan Islam [ Harakah Islamiyyah ] yang mengambil pendekatan menyertai pilihanraya sebagai sebuah parti politik yang berdaftar .

2. Politik adalah sebahagian dari tanggungjawab perjuangan Islam yang wajib dilunas sebaik mungkin . Ianya menjadi alat atau wasilah untuk mendapatkan kuasa bagi mendaulatkan syariat Islam sebagai satu perundangan atau peraturan yang adil , telus , saksama dan bestari .

3. Namun begitu menang dan kuasa hanyalah wasilah perjuangan bagi mencapai matlamatnya iaitu redha Allah swt . [ الله غايتنا ] . Mutaakhir ini saya lihat ada beberapa perkara yang memerlukan allignment dan balancing di dalam PAS agar perjalanan atau pergerakkan PAS menuju destinasi [ matlamat ] tidak makan sebelah dan bergegar sepanjang jalan .

4. Ucapan dasar Presiden PAS telah menegaskan bahawa PAS mesti bergerak seimbang [ tidak makan sebelah ] dan tenang [ tidak bergegar ] dengan 3 fungsi utamanya iaitu :

a] Harakatut Tarbiyyah ,
b] Harakatud Dakwah dan
c] Harakatus Siyasiah .

5. Pada pengamatan saya , kini ramai [ sebahagian ] pimpinan dan anggota PAS agak berlebihan dalam menumpukan gerakkerja politik [ harakatus siyasiah ] sementara sangat tidak mengambil berat terhadap gerakkerja tarbiyyah . Mereka sanggup bersengkang mata untuk memastikan kemenangan kerusi mereka bahkan sanggup jua bertegang leher sesama sendiri demi sebuah strategi politik . Terlalu ghairah untuk menang besar dan menang cepat dalam pilihanraya sehingga mengorbankan sahabat seperjuangan dalam PAS .

6. Amal tarbawi seperti tiada lagi tempat dan ruang . Ukhuwwah sesama pimpinan dan anggota parti dilihat sinis . Mudah bertengkar dan bermasam muka . Sering dipengaruhi rasa curiga antara satu sama lain . Memandang sahabat seperjuangan seperti musuh yang dilapah dan disiat seluruh maruah dan aibnya di dada akhbar dan blog . Sukar bertolak ansur sebaliknya mudah bersengketa . Berbicara sesama sendiri seperti bicara dengan musuh .

7. Bukan sahaja parti bergerak secara tidak seimbang [ makan sebelah ] tetapi juga tidak tenang [ bergegar ] sepanjang jalan . Suara luar boleh masuk dan mempengaruhi sebahagian pimpinan PAS dengan mudah . Tahap thiqah [ kepercayaan ] kepada pucuk pimpinan parti semakin berkurangan . Budaya menghentam pimpinan secara terbuka semakin menjadi trend . Rahsia parti dan minit mesyuarat dibongkar tanpa rasa bersalah . Mereka berpolitik bukan hanya dengan musuh tetapi lebih hebat sesama sendiri .

8. Saya lihat perlunya kedudukan dan perjalanan parti kita ditimbang dan dibetulkan semula . Semua pihak sewajarnya ambil peranan ini dengan penuh insaf dan sedar . Kembalikan izzah berjamaah dengan semarak amal tarbawi . Bina semula wehdatul fikri dan wehdatul amal . Jaga kerahsiaan jamaah dengan mengenal pasti apa yang patut rahsia dan apa yang patut dedah . Fikrah Islam mesti jelas ! jangan biarkan ia kabur disebalik jerebu kemenangan .

9. Semua pihak mesti merendahkan sayap . Kembalikan suasana lazat dan seronok bekerja dalam jamaah . Pastikan berjuang untuk menambah pahala bukan berjuang untuk memperbanyakkan dosa dek kerana fitnah dan pertelingkahan sesama sendiri . Berlapang dada dan bersedia untuk dinasihati dan ditegur . Hidupkan semula amal tarbawi biarpun dengan gaya moden atau paling tidak , kekalkan warisan tradisi yang soleh seperti usrah , tamrin qiadi , mukhayyam tarbawi , liqa fikri , ijtima' tarbawi dan lain - lain .

10. Perkukuhkan parti kita [ PAS ] sebelum kita nak perkukuhkan parti orang lain . Fokus pada potfolio yang diamanahkan kepada kita . Usahlah kita ambil kerja orang lain atau dalam bahasa lain menggali tanah kebun orang lain . Menuding dan menilai kerja orang lain bagaikan nak rak tetapi malang kerja sendiri entah kemana failnya . Pada masa yang sama , perkasakan amal tarbawi . Jangan culas untuk hadhir program yang membina diri , aqidah dan fikrah . Usah berlagak pandai dan bijak . Rendahkan sayap demi amal jamaei . Kurangkan alasan atau jangan banyak sangat bermain alasan untuk tidak melibatkan diri dengan program amal tarbawi , kerana kelak menjadikan kita tidak seimbang [ makan sebelah ] .

Kota Siputeh: Mahkamah tangguh DUN kosong

Petikan Malaysiakini.com

Hafiz Yatim
Nov 24, 09
7:54pm
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan penangguhan sementara perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menolak permohonan SPR untuk menangguhkan perintah tersebut.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu diumumkan kira-kira jam 7.30 malam. Esok merupakan tarikh akhir bagi SPR melaksanakan perintah mahkamah tinggi supaya mengeluarkan writ pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.

Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, SPR boleh menangguhkan pengeluaran writ tersebut untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Keputusan hari ini dibuat sebulat suara oleh panel hakim yang diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie. Dua lagi hakim ialah Datuk Kang Hwee Gee dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Aziz Abdul Rahim.

Mengikut undang-undang, apabila SPR telah mengeluarkan writ tersebut, maka ia tidak boleh dibatalkan.

Sebelum itu, peguam kanan persekutuan, Kamaluddin Md Said berhujah bahawa wujud keadaan tertentu yang membolehkan penangguhan itu dibuat.

Katanya, jika SPR sudah menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian, dan jika rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kemudiannya dibenarkan, maka pilihan raya kecil itu adalah satu pembaziran dana awam.

Kamaluddin juga menegaskan, jika pilihan raya kecil diadakan, ia mungkin menyebabkan ada dua wakil rakyat, jika rayuan SPR dibenarkan.

Manakala peguam kanan Sulaiman Abdullah, yang mewakili speaker DUN Kedah, Dr Abdul Isa Ismail pula berkata, jika mahkamah membenarkan penangguhan itu, ianya hanya menghalang perjalanan perlembagaan kerana kerusi tersebut telahpun diisytiharkan kosong.

"Apabila sesebuah kerusi diisytiharkan kosong, maka pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dan writ pilihan raya hendaklah dikeluarkan esok," katanya.

Sulaiman berkata, juga tidak ada keperluan segera untuk memberi penangguhan kerana Mahkamah Rayuan boleh mendengar rayuan SPR sebelum tempoh 60 hari itu.

Maka katanya, tidak ada keperluan segera untuk mahkamah membenarkan penangguhan.

Tambahan lagi, katanya, mengikut undang-undang, mahkamah tidak boleh memberi sesuatu penangguhan terhadap mana-mana perintah yang dipohon.

[Baca berita penuh]

INFO BANJIR TERENGGANU

Banjir tidak berubah, 6,191 masih di pusat pemindahan

KUALA TERENGGANU - Banjir pusingan kedua yang dikatakan memasuki peringkat merah negeri ini dilaporkan tidak banyak be-rubah apabila beribu-ribu mangsa di semua daerah di negeri ini masih ditempatkan di 87 pusat peminda-han.

Sehingga jam 6.30 petang semalam, seramai 6,191 mangsa membabitkan 1,612 keluarga masih lagi berada di pusat pemindahan banjir berbanding 6,989 mangsa yang direkodkan lewat petang kelmarin.

:Keadaan cuaca yang belum pulih sepenuhnya juga menyebabkan 28 jalan ditutup kepada semua kenderaan dan kenderaan ringan kerana dinaiki air sedalam 0.3 hingga 1.7 meter.

:Pegawai bertugas di Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu, Syed Afendi Syed Harun berkata, Dungun mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dipindahkan iaitu 2,020 orang.

Menurutnya, semua mangsa membabitkan 621 keluarga tersebut ditempatkan di 15 pusat peminda-han banjir yang dibuka sejak dua hari lalu.

“Antara pusat peminda-han itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Besar, SK Tokkah, SK Pulau Serai, Dewan Sivik Paka dan SK Bandar Dungun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.

:Beliau berkata, Kemaman pula mencatatkan kedudukan kedua tertinggi apabila 1,443 mangsa melibatkan 320 keluarga telah dipindahkan ke 18 pusat penempatan sementara banjir yang dibuka pihak berkuasa.

:Di Hulu Terengganu pula katanya, seramai 849 mangsa daripada 185 ke-luarga dari beberapa kawasan iaitu Tok Gebok, Merbau Pulas, Kuala Menjing dan Batu 24 masih tinggal di 21 pusat pemindahan manakala selebihnya dibenarkan pulang.

Daerah lain iaitu Besut, Setiu dan Marang pula menunjukkan pengurangan apabila kebanyakan mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan keadaan air yang semakin surut.

“Di Besut, sembilan pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan 386 mangsa manakala Setiu dan Marang masing-masing mempunyai 125 dan 320 mangsa,” katanya.

Syed Afendi berkata, meskipun sebahagian besar mangsa di beberapa daerah telah pulang ke rumah masing-masing, Kuala Terengganu mula menunjukkan petanda awal dilanda banjir apabila sebuah pusat pemindahan dibuka semalam.

“SK Bukit Guntung telah dibuka bagi menempatkan tiga keluarga membabitkan 11 mangsa setelah rumah mereka di Kampung Bukit Nangka, Banggol Binjai dan Jeram Hulu dinaiki air be-rikutan hujan lebat,” katanya.

Sementara itu, sebanyak empat buah sungai utama mencatatkan bacaan melebih paras bahaya sehingga petang semalam berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

:Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu ketika dihubungi berkata, antara sungai tersebut adalah Sungai Besut di Kampung Raja mencatatkan bacaan 3.16 meter (m), melebihi bacaan pada paras bahaya iaitu 3m.

Tiga yang lain adalah Sungai Nerus di Kampung Bukit dengan 14.36m (bahaya; 12m), Sungai Dungun di Kuala Jengai dengan 20.09m (bahaya; 19.8m) dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau dengan 12.96m (bahaya; 12.50m).

Info banjir laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu pula mencatatkan sebanyak lima sungai berada dalam keadaan berwaspada.

:Antaranya Sungai Besut di Kampung La dengan 17.43m (waspada; 17.20m), Sungai Besut di Jambatan Jerteh dengan bacaan 8.29 m (waspada; 7.30m), Sungai Dungun di Kuala Jengai dengan bacaan 19.30m (waspada;18.30m), Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan dengan 13.36 m (waspada:12.5m) dan Sungai Setiu di Ibu Bekalan dengan 7.73m (waspada; 7.30m).

Sehingga jam 7 petang semalam, sembilan buah sungai masih menunjukkan kedudukan di paras normal iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak, Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih.

Sungai lain termasuk Sungai Cherul di Jambatan Ban Ho, Sungai Berang di Kampung Menerong, Sungai Terengganu di Kampung Dura, Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Terengganu di Kampung Tanggol.

Monday, November 23, 2009

ANAK EXCO TERLIBAT DADAH?


KUALA TERENGGANU - Angkatan Muda Keadilan ( AMK ) Negeri Terengganu mendesak Ketua Polis Negeri Terengganu menjelaskan isu yang heboh diperkatakan tentang seorang anak kepada seorang EXCO Kerajaan Negeri Terengganu.

Ketuanya, Fariz Musa berkata, anak anggota Exco tersebut ditahan oleh pihak polis di dalam satu sekatan jalanraya, baru-baru ini.

”Dalam sekatan (jalanraya) itu, anak Exco berkenaan dikatakan memandu kereta rasmi Exco milik kerajaan negeri dan pihak polis telah menjumpai dadah yang disembunyikan di bonet kereta tersebut,

”Jumlah dadah tersebut dikatakan jika disabitkan kesalahan boleh membuat hukuman mati mandatory.”ujar Fariz dalam sidang media Pelancaran Gerakan Selamatkan Wang Rakyat Terengganu ( Semarak Terengganu ) yang diadakan di sini semalam.

Menurutnya, berdasarkan laporan banyak blog-blog menyatakan Exco tersebut yang juga salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan Parlimen Besut kini berada di Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji.

Namun begitu, katanya, pihak tertentu UMNO Negeri dikatakan sedaya upaya ingin menyembunyikan serta menutup kes tersebut agar tidak dihidu oleh rakyat bagi menjaga nama baik UMNO.

Fariz mengganggap, sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku dan membabitkan penggunaan kereta rasmi kerajaan, maka wajarlah Ketua Polis Negeri Terengganu menjelaskan kepada umum kes tersebut kerana melibatkan penyalahgunaan harta rakyat .

Sehubungan itu, beliau memohon agar Ketua Polis Negeri Terengganu bertindak secara telus dan profesional tanpa mengambil sikap mendiamkan diri, serta tidak bertindak menyembunyikan perkara tersebut dan bersekongkol dengan UMNO bagi menutup kesalahan itu.

Dalam sidang media yang sama, Fariz berkata AMK akan menggerakkan SEMARAK ke seluruh Negara bagi memberikan kesedaran dan maklumat kepada rakyat tentang penyelwengan, salahlaku dan rasuah yang telah dilakukan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, di negeri Terengganu AMK akan membuat beberapa laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdasarkan pendedahan yang dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara

Sunday, November 22, 2009

SALAHGUNA DANA BAKTI REMAJA TERENGGANU

PERSEPSI DALAM AL QUR'AN(Tafsir Ayat 12 al hujurat)

يا أيها الذين أمنوا اجتنبوا كثيرا من الظن ان بعض الظن اثم و لا تجسسوا و لا يغتب بعضكم بعض أيحب أحدكم أن يأكل لحم أخيه ميتا فكرهتموه و اتقو ا الله ان الله تواب رحيم

12. Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

TAKRIF SANGKAAN

Sangkaan ialah Persepsi atau tanggapan. Ia terbahagi kepada sangkaan baik dan sangkaan buruk. Sangkaan buruk(prasangka) akan menjadi topik perbincangan dalam artikel ini.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, prasangka ialah sangka (anggapan) buruk terhadap sesuatu (seseorang) sebelum mengetahui (menyelidiki yang sebenarnya). Sedangkan berprasangka ialah menaruh prasangka. Adapun keprasangkaan pula ialah sifat (rasa) prasangka.

ASBABUL NUZUL


Setengah ulama’ mengatakan ayat ini diturunkan kepada dua orang sahabat nabi s.a.w. Sudah menjadi kebiasaan, apabila bermusafir, Rasulullah akan mencampurkan sahabatnya yang susah dengan sahabat yang senang. Ini bertujuan untuk menanamkan sifat ukhuwwah di antara satu sama lain. Orang yang senang akan menolong saudaranya yang susah. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah meletakkan Salman al farisi dengan dua orang lelaki dari kalangan sahabat yang dianggap lebih berada daripada Salman al farisi ketika itu.

Di sepanjang perjalanan dalam musafir itu berlaku suatu peristiwa di antara Salman dengan dua sahabat tadi di mana mereka terlewat bangun tidur, sedangkan Salman ditugaskan untuk menyediakan makanan buat mereka. Kedua-dua sahabat tadi menyuruh Salman bertemu Rasulullah untuk mengambil makanan. Apabila sampai, Rasulullah memberitahu Salman bahawa makanan telah habis, lalu menyuruhnya berjumpa dengan Usamah bin Zaid (ditugaskan menjaga perbekalan).

Salman pun pergi berjumpa dengan Usamah sebagaimana diarahkan nabi, tetapi malangnya Usamah juga menyatakan makanan sudah habis. Lalu Salman balik dalam keadaan tiada makanan bersamanya. Dua sahabat tadi menuduh Salman bakhil kerana sengaja tidak mahu memberi mereka makanan. Akhirnya Salman dihantarkan pula kepada sahabat-sahabat lain untuk memperolehi makanan. Dalam keadaan ketiadaan Salman, dua sahabat tadi bercakap-cakap pula mengenai Salman dengan tidak mengharapkannya lagi.

Rasulullah s.a.w. telah melihat telatah kedua orang sahabat itu, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kedua orang sahabatnya:

ما لي أري خضرة اللحم في أفواهكما

Maksudnya:

”Aku melihat kamu berdua sedang memakan daging.”

Lalu sahabatnya berkata:

يا نبي الله و الله ما أكلنا فى يومنا هذا لحما و لا غيره

Maksudnya:

“Wahai nabi Allah, kami tidak makan apa-apa lagi pada hari ini sama ada dagingatau makanan yang lain.”

Rasulullah menjawab:

ولكنكما ظلمتما تأكلان لحم سلمان و أسامة

Maksudnya:

“Tetapi kamu berdua berlaku zalim dan kamu telah memakan daging saudara kamu iaitu Salman al Farisi.”

Lalu Allah turunkan ayat 12 surah al Hujurat sebagaimana di atas. Ia menunjukkan kepada kita betapa besarnya dosa mengumpat sehingga digambarkan seolah-olah kita memakan daging saudara kita sendiri.


TAFSIR AYAT

As Sobuni menyebutkan : Jauhilah kamu dari tohmahan, khianat dan buruk sangka terhadap keluarga dan manusia. Diibaratkan dengan banyak (كثيرا ) di sini untuk mengambil langkah berhati-hati kepada setiap zhan atau sangkaan dan jangan terlalu gopoh membuat kesimpulan sehinggalah disiasat dan dipastikan kebenaran sangkaan itu. Ini kerana sebahagian zhan merupakan dosa yang mengakibatkan tuannya dengan hukuman Allah s.w.t. sama ada di dunia dan di akhirat.
Ia ada kaitan dengan konsep tabayyun(tindakan menentukan sama ada khabar berita benar atau salah) dalam ayat keenam surah yang sama.

Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat di atas, sebahagian sangkaan adalah dosa. Bermakna ada sangkaan yang membawa dosa dan ada sangkaan membawa pahala. Yang membawa dosa sudah tentulah sangkaan yang buruk atau disebut prasangka. Manakala yang membawa pahala dipanggil sangkaan baik. Dalam istilah arab, sangka buruk ialah su’uzzhan((سوء الظن, manakala sangka baik ialah husnuzzhan( حسن الظن).

Contoh prasangka : Seseorang yang berjanji untuk datang mesyuarat pada jam 3 petang. Tiba-tiba dia datang lewat. Ahli mesyuarat yang menunggu berprasangka kepada beliau dengan mengatakan beliau seorang yang tidak menjaga waktu dan tidak menghormati ahli mesyuarat sedangkan kemungkinan-kemungkinan yang lain masih ada. Mungkin beliau kesesakan lalulintas dan sebagainya.

Allah jalla wa ’ala memerintahkan orang yang beriman menjauhi sangkaan kerana kebanyakan sangkaan merupakan DOSA! Daripada sangkaan tadi, timbul pula keinginan untuk mengintip-intip dan mencari-cari keburukan orang. Lalu apabila terbongkar, terus disebarkan kepada umum menyebabkan aib kepada si mangsa intipan. Inilah yang dilarang keras dalam agama. Ia termasuk dalam dosa ghibah atau mengumpat kalau yang dibongkar itu benar. Kalau berita itu palsu, maka ia termasuk dalam namimah atau fitnah. Allah subhanahu wa ta’ala menyamakan orang yang mengumpat dengan perbuatan memakan daging saudaranya! Di akhir ayat, Allah menyeru agar orang beriman bertaqwalah kepadaNya. Sesungguhnya Allah maha menerima taubat dan maha mengasihani.

DUNIA PERSEPSI

Kini, istilah persepsi sangat popular dalam masyarakat. Sebenarnya konsep ini sudah lama berlegar dalam sistem sosial kita. Bahkan ia wujud dalam mana-mana masyarakat dalam dunia sekalipun. Persepsi atau tanggapan atau sangkaan merupakan istilah-istilah yang membawa erti yang sama. Ia boeh jadi baik dan boleh jadi juga buruk. Kalau buruk persepsi, maka natijahnya buruk. Begitulah sebaliknya. Pandangan masyarakat umum terhadap sesuatu isu atau individu, kelompok masyarakat bergantung kepada persepsi yang menguasai minda mereka. Persepsi boleh diterjemahkan sebagai ’bagaimana kita melihat sesuatu’. Perkara yang sama boleh melahirkan persepsi yang berbeza bergantung kepada cara pemikiran seseorang. Ia mungkin positif, dan mungkin juga negatif! Yang negatif inilah dipanggil sangka buruk atau suu’uzzhan.

Mungkin masyarakat tidak merasakan dosa berprasangka buruk merupakan dosa yang besar kerana ia sudah menjadi darah daging mereka, sedangkan Rasulullah pernah bersabda, ”اياكم و الظن فان الظن أكذب الحديث”. Maksudnya: ”Awasilah kamu daripada berprasangka, kerana prasangka adalah sebohong-bohong ucapan.”(Muttafaqun alaihi).

Bahkan Allah jalla wa ’ala berfirman dalam ayat 116 surah al An’am,

و ان تطع أكثر من في الأرض يضلوك عن سبيل الله ان يتبعوك الا الظن و ان هم الا يخرصون

116. Dan jika Engkau menurut kebanyakan orang Yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah Yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.

Al Sobuni menjelaskan bahawa jika kita taati golongan kafir yang jumah mereka ramai di muka bumi nescaya mereka menyesatkan orang beriman dari petunjuk Allah.

Masyarakat Islam kini banyak dipengaruhi oleh cara berfikir yang diwarisi dari barat. Pendidikan sains sosial rata-ratanya diambil dari idea-idea cendekiawan barat yang mewarnai silibus pembelajaran ilmu psikologi di institusi pengajian tinggi. Lalu lahirlah ramai doktor-doktor dan profesor-profesor Islam tetapi celupannya barat, mempromosikan ilmu dan cara berfikir ala kebaratan. Sehingga timbul ungkapan, ” Sesiapa yang tidak percayakan persepsi, maka ia adalah primitif.” Ini sangat bertentangan dengan apa yang diajar oleh Allah melalui ayat-ayat dalam surah al hujurat ini. Bagaimana mungkin kita mahu berkiblatkan orang barat dan pemikiran mereka sedangkan mereka sekali-kali tidak mengikut kaedah Islam dalam isu zhan ini melainkan hanyalah sangkaan dan waham yang mereka warisi dari nenek moyang mereka sehingga mereka merasakan berada atas jalan kebenaran. Padahal merekalah orang-orang yang berdusta atas nama ilmu sains sosial.

Adakah boleh kita katakan sesuatu itu adalah benar hanya kerana majoriti masyarakat mengatakan benar? Contohnya seorang muslim yang tinggal di negara yang majoritinya kristian, adakah wajib dia mengikut persepsi masyarakat negara itu yang memandang semua orang Islam adalah ganas? Sudah tentu tidak.

PERSEPSI BERUBAH MENJADI INFORMASI

Sebuah hadis qudsi menyebut, "انا عند ظن عبدي بي ان ظن خيرا فله و ان ظن شرا فله- رواه أحمد"

yang maksudnya, ”Aku di sisi(sebagaimana) sangkaan hambaKu denganKu, sekiranya dia(hambaKu) bersangka baik, maka baginya(natijah baik), dan sekiranya dia bersangka buruk, maka baginya juga(natijah buruk)”. Hadis Qudsi ini mengajar kita agar berfikiran positif kerana Allah redha dengan sangkaan baik dan murka dengan sangkaan buruk. Sekiranya kita berfikiran negatif, maka ia membentuk informasi yang salah dalam masyarakat. Menurut kajian barat, proses persepsi boleh ’mengubah’ apa yang manusia lihat. Apabila kita melihat sesuatu dengan konsep yang telah diprasangkakan, kita akan anggap prasangka itu sebagai maklumat atau fakta. Keadaan ini berlaku oleh kerana manusia mampu untuk memahami informasi baru tanpa ‘the inherent bias of their previous knowledge’ (pengetahuan lampau tentang sesuatu yang diwarisi secara berpihak).

Ada orang yang berhujjahkan hadis ini untuk menjustifikasikan bahawa benarnya konsep persepsi berubah menjadi informasi atau fakta. Kalaulah begitu, biarlah kita menjadi warga yang sentiasa berpersepsi baik agar natijahnya baik. Melainkan kita memang berniat untuk membentuk persepsi buruk terhadap individu atau organisasi tertentu.

Peranan media sangat penting dalam membentuk persepsi yang baik dalam masyarakat. Apa yang sering media paparkan, itulah yang akan menguasai minda masyarakat umum. Kesimpulannya, apa yang bermain di minda masyarakat, kemudian menjadi informasi dan fakta bagi mereka, tidak semestinya benar dan baik di sisi Islam.

Ini merupakan suatu cabaran yang sangat besar dan getir bagi umat Islam khususnya pendokong perjuangan Islam untuk membentuk persepsi yang baik di kalangan masyarakat terhadap apa yang mereka bawa selama ini agar diterima ramai dengan baik.

Ya Allah, peliharakanlah kami dari sangkaan yang buruk.

Naib Presiden: Kritikan dalaman PAS ‘melampau’ sampai lupa musuh


Petikan Malaysianinsider

KUALA LUMPUR, Nov 20 — Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kini sudah terdapat unsur-unsur pihak luar "menyelinap masuk" ke dalam parti itu untuk mencetuskan isu-isu dalaman, yang dipercayai berjaya mengalihkan persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Oleh itu, kata beliau, ahli parti itu di semua peringkat hanya "bergelut" sis-sia untuk menyelesaikan isu-isu tidak berbaloi yang dicetuskan oleh musuh-musuh PAS.

Bagaimanapun beliau tidak menamakan siapa musuh yang dimaksudkan itu.

"Jadi itu yang saya timbulkan ada usaha untuk musuh menyelinap masuk di kalangan kita dan mencampakkan idea dan kita pun penat bergelut sesama kita.

"Dalam PAS ada dan dalam DAP pun ada," kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS sambil menambah, kepimpinan parti itu menghabiskan masa dengan cuba menyelesaikan isu-isu yang sengaja dicetuskan.

Awal bulan ini PAS telah mengadakan seminar politik sebagai ganti kepada Muktamar Agung Luar Biasa yang disyorkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membersihkan beberapa pemimpin kanan parti itu.

Nik Aziz pula kini berhadapan dengan isu pengurusan Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan tajaan buat beliau mengerjakan haji.

"Saya fikir begini, kita habis masa, tenaga dan wang ringgit kita habiskan kepada isu-isu yang berlaku ini meletihkan kita dalam perjuangan," kata Tuan Ibrahim.

Justeru Tuan Ibrahim berkata, mulai sekarang pemimpin-pemimpin PAS perlu memberi perhatian terhadap agenda perubahan iaitu masa depan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Apa persiapan kita? Saya bimbang kadang-kadang kerana kita berbincang dan kritik sama-sama kita, kita gagal memberi tumpuan kepada soal-soal asas pilihan raya ini.

"Sebagai contoh daftar pemilih, soal pengundi, jentera dan sebagainya. Ini benda-benda asas, kalau kita gagal beri perhatian nanti dia akan merosakkan tumpuan kita," kata beliau dalam temu bual dengan Sidangonline.

Tuan Ibrahim kini berada di Mekah untuk menunaikan haji.

"Sebenarnya isu ini isu mereka, perpecahan dalam Umno, MIC, MCA, PPP tapi isunya ... sepatutnya kita tidak habiskan masa yang panjang dalam isu ini.

"Mudah-mudahan tidak ada lagi selepas ini kenyataan-kenyataan yang membuatkan ahli kita rasa letih dan kepimpinan kita habis tenaga kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Jadi sebab itu kita tidak punya masa yang panjang," katanya lagi.

Dalam temu bual itu, Tuan Ibrahim juga berkata, beliau "cukup bimbang dalam konteks parti" ekoran wujudnya elemen-elemen berpuak di kalangan ahli dan pemimpin.

"Saya harapkan supaya ahli-ahli parti tidak cuba mewujudkan kelompok atau kumpulan dalam parti. Kita boleh berbeza pendapat tetapi kita kena menghargai nilai-nilai akhlak jamaah kita kena utamakan nilai-nilai akhlak berjamaah.

"Kita tegur, kita kritik sahabat kadang-kadang 'over' sangat, lebih daripada kita kritik musuh kita.

"Apa pun kita kita kena muliakan sahabat mungkin kerana usianya, kedudukannya... jadi perkara-perkara itu perlu kita hargai," kata Tuan Ibrahim.

Mengambil kira pendekatan Islam, tegas beliau, ada etika dan adab yang mesti dipatuhi oleh semua ahli parti.

"Jadi jangan kerana kita tidak bersetuju dengan sekumpulan lalu kita membelakangi akhlak-akhlak berjamaah," kata Tuan Ibrahim lagi sambil menambah, "jadi saya fikir mungkin parti juga kena lihat supaya banyakkan majlis-majlis yang bersifat lebih merapatkan ukhuwah."

Mengenai Jawatankuasa Disiplin, Tuan Ibrahim menjelaskan ia perlu diperkasakan sehingga menjadi satu badan dalam parti yang dihormati oleh ahli-ahli.

"Hingga setakat ini alhamdulillah, beberapa kes kita buat kenyataan baru-baru ini boleh reda. Sikap hormat ahli itu ada.

"Sebagai contoh bila kes kerajaan perpaduan... bila saya arahkan supaya semua diam dan minta jangan dibangkitkan sebarang kenyataan kontroversi, semua diam," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya sedang memantau beberapa orang yang dikaitkan dengan kes ini kerana dianggap boleh mengganggu siasatan.

Pemuda PAS desak Peguam Negara dihadap ke Tribunal





Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Nov: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mendesak agar Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dihadapkan segera ke Tribunal yang dibentuk berdasarkan peruntukan yang sama seperti proses pemecatan hakim Mahkamah Persekutuan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan berkata, desakan ini dibuat kerana Abdul Gani, selaku penasihat undang-undang utama kepada kerajaan telah gagal menjalankan tugas dengan baik dalam memberikan nasihat perundangan yang tepat dan selaras dengan undang-undang yang sebenar sehingga menjejaskan imej kerajaan.

Kegagalan ini tegasnya dapat dilihat dalam dua keputusan Mahkamah Tinggi yang terbaru, iaitu dalam kes semakan kejhakiman terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Kedah dan kes saman yang dikemukakan Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPR dan SPRM yang diwakili Peguam Negara telah kalah dalam perbicaraan kedua-dua kes tersebut.

"DPP memandang serius implikasi dari dua keputusan Mahkamah Tinggi ini. Jelas menunjukkan bagaimana Peguam Negara selaku penasihat undang-undang utama kepada kerajaan sebagaiamana yang diperuntukkan dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, gagal melaksanakan tugasnya," katanya.

DPP turut mempersoal nasihat perundangan oleh peguam negara kepada SPR berkenaan pentafsiran Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah sedangkan peruntukan tersebut adalah jelas bahwa seseorang ADUN Kedah yang gagal menghadiri mesyuarat DUN dua kali berturut-turut tanpa mendapat kebenaran dari Speaker, secara automatik hilang kerusinya.

SPR sebaliknya mentafsirkan maksud "dua persidangan berturut-turut" mengikut Perkara 51 sebagai dua sesi berasingan.

"Timbul persoalan apakah nasihat undang-undang oleh Peguam Negara, diberikan secara profesional ataupun didasari oleh sentimen politik semata-mata untuk mempertahankan tindakan kerajaan dan agensinya?" soalnya.

DPPP berpandangan, meskipun jawatan Peguam Negara dilantik oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, namun jawatan tersebut tetap merupakan public office yang mesti mempunyai akauntabiliti moral terhadap rakyat Malaysia.

"Di dalam keadaan ini di mana Peguam Negara gagal menjalankan tugas dengan baik hingga mendatangkan kerugian kepada kerajaan yang kosnya turut ditanggung oleh rakyat, maka DPPP merasakan adalah wajar secara moralnya untuk Peguam Negara meletakkan jawatan serta merta," tegasnya.

Dalam amalan biasa juga ujarnya, mana-mana peguam yang memberikan nasihat perundangan yang salah dan silap kepada anak guamnya, maka ianya dianggap sebagai suatu professional negligence (kecuaian profesional) yang membolehkan anak guam tersebut mengambil tindakan undang-undang terhadap peguam yang terbabit.

SPR dalam kes ini diwakili peguam kanan persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Manakala Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM berhubung kuasa suruhanjaya tersebut untuk menyoal saksi tanpa henti sepanjang malam.

Beliau merupakan salah seorang saksi yang disoal siasat berhubung kematian pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock Julai lalu.

Saturday, November 21, 2009

Mengurus Persepsi . Bhg 3


Politik Persepsi
VS
Politik Islami


1. Sebagaimana perbahasan terdahulu [ dalam Mengurus Persepsi vol 1 dan 2 ] telah ditegaskan bahawa persepsi terbahagi kepada 2 .

Pertama : Persepsi Positif
Kedua : Persepsi Negatif

2. Menerima atau menolak kedua - dua kategori persepsi ini banyak bergantung kepada implikasi atau kesan langsung dari menerima atau menolak persepsi tersebut .

3. Pun begitu , telah saya tegaskan sebelum ini [ vol 1 & 2 ] bahawa persepsi bukanlah suatu yang besifat mutlak kerana ia dinilai melalui " bagaimana persepsi itu dihasilkan " , " persepsi itu dari mana" dan sebagainya .

4. Sebagai contoh mudah 1 : seorang insan yang baik budi pekertinya tetapi mendapat persepsi buruk dari masyarakat ekoran fitnah yang lemparkan oleh seseorang yang lain kerana hasad dan seumpamanya . Tentunya persepsi ini tidak boleh diterima [ atau mesti diabaikan ] sebab ianya dihasilkan atau terhasil melalui cara yang salah .

Sebagai contoh mudah 2 : seorang insan yang sememangnya nakal atau jahat tetapi ia mendapat persepsi yang baik dari masyarakat ekoran kelicikannya menyembunyikan kejahatan yang dilaku dan keupayaannya mempengaruhi pemikiran masyarakat [ etc ; melalui penguasaan media ] . Tentunya persepsi ini tidak boleh diterima [ atau mesti diabaikan ] sebab ianya dihasilkan atau terhasil melalui cara yang salah .

Sebagai contoh mudah 3 : seorang insan yang baik budi pekertinya lalu mendapat persepsi yang baik dan positif dari masyarakat . Tentunya persepsi ini mesti diterima kerana ia berasas dan terhasil secara benar .

Sebagai contoh mudah 4 : seorang insan yang sememangnya nakal atau jahat lalu ia menerima persepsi buruk dari masyarakat akibat perlakuannya . Tentunya persepsi ini mesti diterima kerana ia berasas dan terhasil secara benar .

5. Begitu juga dengan politik dan tindakan - tindakannya terdedah kepada persepsi dan bagaimana persepsi itu terhasil . PAS adalah sebuah gerkan Islam yang memperjuangkan cita - cita Islam agar ianya tertegak di atas tanahair ini . Kerana Islam yang diperjuangkannya lah saya dan orang lain menyertai PAS . Usaha memperjuangkan Islam meletakkan PAS berdepan dengan musuh sementara musuh pula bertindak menyerang dari luar termasuklah menyusup masuk ke dalam saff perjuangan Islam ini untuk melancarkan serangan dan fitnah dari dalam pula .

6. Justeru itu PAS juga tidak terlepas dari pengaruh persepsi bahkan bukan sekarang sebaliknya sejak awal penubuhannya , PAS telah berdepan dengan persepsi yang berbagai . Karenah persepsi ini sebahagiannya dilayan bahkan mesti diambil kira sementaranya sebahagiannya tidak mampu dilayan bahkan mesti diabaikan begitu sahaja .

7. Biasanya persepsi ini terbentuk melalui apa yang dilihat dan apa yang orang kata . Sesekali persepsi dibentuk melalui satu hasil penelitian dan kajian mendalam . Justeru itu persepsi juga ada asasnya untuk diterima dan di tolak . Namun begitu , perjuangan mesti diteruskan dan jangan izinkan perjuangan suci untuk menegakkan agama Allah swt ini terganggu hanya kerana kesibukkan kita melayan persepsi . Saya menegaskan demikian kerana musuh tidak akan berhenti untuk mecipta persepsi buruk ke atas perjuangan yang kita dokong sementelah mereka menguasai media dan jentera kerajaan .

[ selalu di ceritakan oleh Tok Guru saya [ Allahyarham Tuan guru Atiqullah ] semasa belajar di Pondok Pasir Tumboh dulu sewaktu menegaskan bahawa kita mesti yakin dan berani hadapi cabaran untuk menjadi pelajar pondok yang pada waktu sangat dipandang hina oleh masyarakat [ yang jahil ] . Tok Guru kata : " Kamu jangan peduli apa orang nak kata ! Orang nak kata lekeh , miskin , ketinggalan zaman , serebeh , lebai malang dan apa - apa lagi lah ... peduli giii lah ! - yang penting kamu ikhlas dan lakukan kerana Allah swt dan agamaNya " ]

Lalu Tok Guru kisahkan cerita dua beranak [ ayah dan anak ] naik seekor kaldai . Lalu orang kata alangkah zalimnya mereka berdua kerana membebankan seekor kaldai , maka si anak turun meninggalkan ayahnya di atas kaldai , lalu orang berkata pula alangkah tergamaknya si ayah , dia rileks berada di atas kaldai sedang anaknya yang masih kecil berpeluh berjalan kaki .

Mereka tukar posisi , si anak naik kaldai dan ayahnya pula berjalan kaki demi memastikan persepsi orang ramai tidak negatif terhadap mereka , lalu orang berkata alangkah zalimnya si anak yang masih muda tergamak membiarkan si ayah yang telah tua berpeluh berjalan kaki .

Mereka ambil keputusan dua - dua turun jalan kaki dan mereka mengheret kaldai mereka . yang penting tiada lagi persepsi yang negatif terhadap mereka . Ternyata mereka silap kerana masih ada orang kata , alangkah bodohnya mereka berdua , ada kaldai tetapi tidak menggunakannya sebagai kenderaan .

Akhirnya mereka berdua [ ayah dan anak ] mengatakan , kita tidak ada pilihan lain untuk mengelak persepsi negatif orang terhadap kita , melainkan satu cara lagi iaitu mereka ikat kaldai
lalu mereka pikul kaldai menuju destinasi mereka . malangnya orang berkata : " apakah mereka berdua ini gila ? ada kaldai , sudahlah tidak menaikinya tetapi mereka yang memikul kaldai . Mereka ini lebih bodoh dari kaldai yang bodoh itu " .


Tok Guru buat kesimpulan : " kamu jangan peduli apa orang nak kata , tapi yang penting kamu mesti benar dan ikhlas . "


8. Saya melihat sewaktu kita berpolitik untuk menegakkan Islam , kita sering berdepan dengan situasi serupa . Apa yang kita buat serba tak kena . Kalau kita kata kita nak tegakkan negara Islam , mereka kata tidak boleh sebab perlembagaan tidak membenarkan , kelak orang non muslim tidak sokong kita , orang masih belum faham lagi fasal negara Islam , kita kena hikmah so jangan cakap negara Islam dulu dan sebagainya .......

Tetapi , apabila kita tidak bercakap negara Islam sebaliknya kita bercakap pasal negara kebajikan , negara bangsa dan lainnya , mereka kata kita telah menggadaikan prinsip perjuangan , kita sudah lari dari perjuangan sebenar dan macam - macam lagi .... sedang ini semua persepsi .

9. Situasi ini meletakkan kita serba tidak kena dan sememangnya itulah strategi musuh untuk meletakkan kita dalam dilema dan serba - serbi salah . Sebab itu saya sebut persepsi juga menjadi senjata musuh untuk melemahkan perjuangan kita terutama apabila kita terperangkap dalam politik persepsi ini . Justeru itu pandangan saya , kita teliti terlebih dahulu apa bentuk persepsi masyarakat terhadap kita dan kita juga kena nilai dan kaji , apakah persepsi itu perlu dilayan atau tidak . Apa yang penting ialah perjuangan kita tidak lari dari manhajnya yang asal berasaskan prinsip dan dasarnya yang tulen .

10. Saya ada seorang kawan yang selalu diperlekeh kerana pakaiannya yang agak kekampungan. Beliau selalu di tuding sebagai selekeh , tak ada class , serebeh , kolot , primitif dan sebagainya . Akhirnya beliau tukar imej dengan memakai pakaian moden dan agak kebandaran sedikit . Malang beliau akhirnya di katakan mengada - ngada , sombong , berlagak , tak sedar diri dan macam - macam lagi .....dia mengadu kepada saya , macam mana ni ? saya kata : " peduli apa orang nak kata [ persepsi ] tetapi pastikan awak menutup aurat dan tidak langgar etika berpakaian . Susah kalau awak nak cari redha manusia nih ! tapi ... awak kena pastikan awak dapat redha Allah , walaupun susah !"

Sabda Rasulullah saw :


من التمس رضى الله بسخط الناس رضى الله عنه و أرضى عنه الناس
و من التمس رضى الناس بسخط الله سخط الله عليه و أسخط عليه الناس

Sesiapa yang mendapatkan redha Allah swt sementara manusia membencinya , nescaya Allah swt meredhainya dan dan menjadikan manusia juga meredhainya . sebaliknya sesiapa yang mencari keredhaan manusia sedang Allah swt membencinya , nescaya Allah swt memurkainya dan menjadikan manusia juga memurkainya .

Riwayat Ibnu Hibban di dalam shohihnya .

Hadis ini menunjukkan keredhaan Allah swt adalah segala - galanya . Akhirnya marilah kita renungi kata - kata Syeikh Ibnu A'toillah as Sakandari :

من علامات النجح في النهايات
الرجوع إلى الله في البدايات

Sebahagian tanda kejayaan yang bakal dicapai pada akhir sesuatu pekerjaan ialah kembali kepada Allah pada mula pekerjaannya .

Mengurus Persepsi . Bhg 2


Iktibar dari Sirah

1. Saya setuju betapa sebahagian persepsi mesti diambil kira , terutama apabila dilihat kepada kesan atau implikasi yang mengundang mudharat lebih umum .

2. Nabi kita Muhammad saw pernah menghalang Saidina Umar rha membunuh Abdullah bin Ubai [ sang munafiq ] kerana bimbang timbul satu persepsi bahawa Muhammad membunuh ummatnya sendiri ekoran Abdullah bin Ubai mengaku muslim malah solat di belakang Nabi saw.

3. Nabi saw tidak bertindak biarpun Abdullah bin Ubai layak dibunuh kerana menjadi musuh dalam selimut dan sering melancarkan gerakan sabotaj terhadap perjuangan baginda saw. Ini satu dari bentuk pengurusan persepsi yang telah dipraktis oleh Rasulullah saw untuk mengelak fitnah yang lebih mudharat berbanding membiarkan sang munafiq itu terus hidup .

4. Hidupnya sang munafiq itu satu mudharat besar kepada perjuangan Rasulullah tetapi persepsi yang bakal tercetus bahawa Muhammad membunuhnya ummatnya [ jika Abdullah bin Ubai dibunuh ] adalah fitnah yang bakal merentasi berpuluh generasi bahkan mungkin sampai kiamat persepsi negatif ini akan dimainkan oleh musuh - musuh Islam .

5. Saidina Umar rha juga pernah memarahi sepasang suami isteri yang berdua - duaan ditempat sunyi bimbang timbulnya persepsi negatif [ fitnah ] terhadap mereka sedang fitnah itu adalah suatu yang sungguh dahsyat akibatnya . الفتنة أشد من القتل

6. Peristiwa seperti ini menjadi contoh bagaimana sebahagian persepsi wajib diambil kira oleh kita , terutama apabila kesan dari persepsi itu mengundang mudharat yang lebih besar [ dan mungkin kekal ] berbanding mudharat yang terhasil dari perkara atau isu yang sedang dihadapi .

7. Namun dalam keadaan tertentu , persepsi diabaikan begitu sahaja terutama apabila persepsi itu negatif terhadap suatu yang bersifat prinsipal [ yang tiada tolak ansur ] . Sebagai contoh apabila Nabi saw pulang dari Isra' dan Mikraj , Baginda telah dinasihatkan oleh Ummu Hani [ sepupu baginda saw ] agar tidak menceritakan pengalaman baginda melalui Isra' dan Mikraj . Ummu Hani bimbang timbul satu persepsi negatif bahawa Muhammad saw adalah gila dan pembohong jika diceritakan kisah luar biasa itu .

8. Namun prinsip Rasulullah saw ialah tabligh [ menyampaikan ] , tidak mungkin Baginda saw menyembunyikan apa yang telah menjadi wahyu Allah untuk disampaikan kepada ummah . Peristiwa sepanjang Isra' dan Mikraj sebahagian dari wahyu Allah swt untuk mendidik manusia agar taat dan tunduk kepada Allah swt . Nabi saw akhirnya tidak memperdulikan apakah persepsi yang bakal terbentuk dikalangan masyarakat arab pada waktu itu lalu terus bertemu masyarakat dan menceritakan segala - galanya .

9. Ternyata persepsi buruk tercetus malah fitnah melanda ummat Islam pada waktu itu yang mula terpengaruh dengan persepsi yang dibentuk oleh Abu Jahal kononnya Muhammad adalah pembohong dan gila . Ianya bermula apabila Nabi saw menceritakan bahawa baginda naik ke langit dan pulang semula ke Makkah dalam tempoh satu malam . Nabi saw adalah pesuruh Allah dan mustahil nabi bersikap bodoh untuk sengaja menceritakan perkara luar biasa yang pastinya mengundang persepsi buruk masyarakat terhadap baginda saw. Tetapi ini prinsip ! biarpun bakal berdepan dengan persepsi yang negatif , Nabi saw tetap menjalankan tugasnya sebagai seorang rasul iaitu menyampaikan wahyu Allah swt .

10. Mungkin sebahagian ahli politik hari ini tidak akan bertindak sebagaimana tindakan Nabi saw sekalipun ia berkait dengan prinsip kerana bimbangkan persepsi . Persepsi telah menjadi senjata yang paling tajam untuk membunuh . Membunuh sebuah perjuangan . Persepsilah yang melumpuhkan perjuangan Islam diseluruh dunia mutaakhir ini apabila pejuang - pejuangnya dilabelkan Taliban , al Qaedah , KMM , ekstrim , terorrist dan lainnya .

11. Sebagaimana Rasulullah saw yang sangat dipercayai oleh Kaum Quraisy sehingga digelar al Amin , tiba - tiba menerima persepsi yang sangat buruk yang akhirnya baginda digelar tukang sihir , gila dan pemecah belah masyarakat semata - mata kerana baginda saw konsisten menentang jahiliyyah dan memerangi kebathilan .

12. Malah hari pertama baginda membawa ajaran tauhid ini kepada masyarakat quraisy di atas bukit safa , baginda telah di ancam :

يا محمد هذا الأمر تكرهه الملوك و تحاربك العرب و العجم

Wahai Muhammad , apa yang kamu bawa ini adalah suatu yang sangat dibenci oleh para pembesar dan kelak kamu akan diperangi oleh orang - orang Arab dan bukan arab .

13. Biarpun persepsi masyarakat telah berubah terhadap baginda , namun demi prinsip perjuangan Islam ini , Nabi saw terus istiqamah dan thabat [ konsisten ] memacunya sehingga Nabi saw pernah bersabda kepada bapa saudaranya Abu Talib :

يا عمي و الله لو وضعوا الشمس في يميني و القمر في يساري على أن أترك هذا الأمر ما تركته أو أهلك دونه

Wahai bapa saudaraku , Demi Allah jika sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan ditangan kiriku supaya aku meninggalkan perjuangan ini , nescaya tidak akan ku tinggalkan [ sehingga Islam ini menang ] atau aku binasa kerananya [ syahid ] .


14. Ertinya Nabi saw tidak pragmatik untuk menukar haluan perjuangan atau memperlahankan rentak perjuangan semata - mata kerana mengambil kira persepsi masyarakat jahiliyyah pada waktu itu . Sebaliknya Nabi saw tegas dan berani mengambil risiko demi membawa misi menyelamatkan aqidah ummah .

15. Demikian persepsi diurus oleh nabi saw apabila berdepan prinsip perjuangan . Bukan sahaja Nabi saw mengabaikan persepsi tersebut tetapi Baginda saw tidak langsung terkesan dengan apa yang orang lain nak kata , apa yang penting ialah dasar dan prinsip perjuangan diteruskan malah digerakkan dengan lebih aktif.

Mengurus Persepsi . Bhg 1


1. Akhir - akhir ini selalu kedengaran orang bercakap soal politik itu adalah persepsi . Baru - baru ini isu persepsi jua menjadi perbahasan penting dalam Seminar Pemerkasaan Parti [ PAS ] di Taman Melewar . [ 7 Nov 2009 ]

2. Paling ekstrim apabila Dr Abu Hassan menegaskan bahawa , barangsiapa menolak persepsi maka ia adalah primitif . Justeru persepsi pada abad ini mesti diterima sebagai informasi .

3. Ramai juga sahabat bertanya saya mengenainya sekaligus meminta saya komen berkait Seminar Pemerkasaan Parti [ PAS ] baru - baru ini .

4. Terus terang saya nyatakan , bahawa saya sangat berpuas hati dengan seminar tersebut dan mengharapkan agar segala kemelut yang berlaku juga telah berakhir dengan berakhirnya seminar itu . Perbahasan telah dilakukan , luahan perasaan juga telah dihamburkan , jawab balas juga telah diterima , emosi turut dilepaskan , majlis telah digulung dan resolusi telah diwarta , maka apa lagi yang tertinggal ? saya secara peribadi benar - benar puas hati biarpun agak teruk juga menjadi sasaran kritik . Entah dari mana datangnya rasa seronok di kritik sedemikian . Mungkin kerana ini pengalaman pertama dikrtitik secara terbuka untuk seluruh dunia menyaksikannya .

5. Selepas ini bergantung kepada sikap kita semua . Kita mahu buat perubahan atau tidak ? Pada saya , seminar ini menjadi titik nokhtah untuk kita [ pemimpin dan anggota ] muhasabah diri dan sekaligus menjadi motivasi guna meningkatkan prestasi daya juang dan menjadi lebih pro aktif menyahut cabaran .

6. Lemah kita perteguhkan , silap kita baiki dan kurang kita tambah . Malah kita belajar dari pengalaman semalam untuk menyusun strategi pada hari ini demi mencapai matlamat di hari esok . Insyaallah inilah yang saya dan rakan - rakan exco DPPP akan lakukan secepat mungkin . Kita ambil langkah positif demi memastikan segala misi dan visi perjuangan kita dapat dicapai . Setidak - tidaknya kita meneruskan langkah menyambung nafas perjuangan suci ini .

7. Terlebih dahulu mewakili DPPP , saya rakam setinggi - tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah mengkritik dan memberi in put bermakna buat DPPP . Usah risau mengenai sikap kami . Kami kejap berpegang kepada apa yang diajar oleh Allah swt bahawa , sebagai seorang mukmin sewajarnya kami mendengar semua kritikan , semua persepsi , semua informasi serta semua cadangan dan kemudiannya kami nilai , teliti serta halusi lalu kami akan ambil , terima , kutip dan pakai apa yang terbaik daripadanya .

الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنة

8. Sebahagian dari pengurusan persepsi ialah tabaiyyun [ nilai , teliti , halusi dan siasat kebenarannya ] justeru persepsi tidaklah bersifat mutlak atau mesti terima . Malah selain tabaiyyun , pengurusan persepsi jua mesti melihat kepada bagaimana persepsi dihasilkan dan apakah kesan langsung berkait persepsi tersebut . Lantaran persepsi itu mungkin salah tetapi jika diabaikan membawa mudharat demikian juga sebaliknya persepsi itu mungkin benar tetapi jika diterima , ia akan memberi pulangan yang negatif .

9. Bahkan sebahagian daripada persepsi itu memang salah dan berdosa sementara sebahagian yang lain itu benar . Firman Allah swt : [ al Hujurat : 12 ]

يا يها الذين ءامنوا اجتنبوا كثيرا من الظن إن بعض الظن إثم
و لا تجسسوا و لا يغتب بعضكم بعضا
أيحب أحدكم أن يأكل لحم أخيه ميتا فكرهتموه و اتقوا الله إن الله تواب رحيم

Wahai orang - orang yang beriman , jauhilah akan kebanyakan dari sangkaan [ persepsi ] sesungguhnya sebahagian sangkaan [ persepsi ] itu adalah dosa [ salah ] . Janganlah kamu mencari kesalahan orang dan jangan kamu mengumpat sebahagian kamu akan sebahagian yang lain . Apakah kamu suka memakan daging saudara kamu yang telah mati ? tentunya kamu enggan [ jijik ] melakukannya ! justeru itu takutlah [ taqwa ] kepada Allah swt , sesungguhnya Allah swt Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang .

10. Ayat diatas menunjukkan sebahagian besar dari persepsi itu adalah salah dan dosa kecuali pada keadaan - keadaan tertentu yang umum dan mudah dilihat kebenarannya , maka persepsi itu diambil kira . Ini adalah kerana Islam sangat mementingkan ketepatan , kebenaran , bukti , suatu yang nyata dan jelas sekaligus menolak kesamaran , andaian , agak - agak dan sangkaan bimbang tersalah langkah dan tersasar dalam bertindak .

Sebelum kita bercakap soal persepsi atau politik persepsi pada hari ini , al Quran terlebih awal telah mendedahkan perkara ini dan meletakkan kaedah bagaimana mahu mengurus persepsi . Insyaallah , saya akan sambung selepas ini perbicaraan berkait pengurusan persepsi ...

to be continue

Tuesday, November 17, 2009

WAWANCARA DENGAN TUAN IBRAHIM TUAN MAN


Ikuti temubual wartawan Sidangonline sejurus sebelum keberangkatan Dato' Tuan Ibrahim ke Mekah

Ada orang beranggapan Datuk kurang bernasib baik apabila diberi amanah duduk di kerusi panas sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin PAS Pusat. Sedangkan amalan dalam parti lain mereka terdiri daripada tokoh veteran, berpengalaman yang tidak berjawatan. Apakah sebenarnya yang Datuk rasakan?

Sesiapa yang pegang kerusi ini memang panas. Tapi pertamanya, perlembagaan parti mengkehendaki jawatan ini mesti terdiri daripada ahli jawatankuasa pusat, ini termaktub dalam perlembagaan parti. Kemudian mesyuarat memutuskan saya memegangnya, walaupun saya sendiri pernah bangkitkan supaya perkara ini diteliti semula kerana berlaku pertindihan. Bila seseorang dihukum jawatankuasa disiplin dia boleh merayu kepada jawatankuasa PAS Pusat, jadi sekali lagi di situ… maknanya dah dua kalilah. Selepas itu dia boleh merayu kepada majlis syura.

Bagi saya apa yang lebih penting ialah mempertahankan prinsip keadilan itu sendiri. Saya akur menerima jawatan ini setelah diputuskan dalam mesyuarat. Soal yang penting bagaimana kita boleh wujudkan satu sistem disiplin kepada ahli kita. Mengenai cadangan pengerusi lembaga disiplin dipilih daripada merka yang dihormati tetapi di luar kepimpinan saya fikir itu langkah yang baik cuma ini perlukan pindaan Perlembagaan.


Selama ini lembaga disiplin kurang diperhatikan sangat. Tetapi akhir-akhir ini tiba-tiba mendapat perhatian luar biasa pelbagai pihak. Apakah Datuk fikir ahli-ahli PAS sudah mulai kurang disiplinnya sekarang?

Saya fikir tidak juga… sebenarnya lembaga disiplin ini dulupun pernah menggantung ahli contohnya dalam konteks Pahang, pada zaman Pesuruhjaya Rusdi Arif PAS ada ahli PAS yang digantung keahlian. Cuma kali ini saya tengok yang jadi panas dalam kes ini dia di’highlight’ secara luar biasa oleh media seluruh negara berhubung dengan kenyataan mursyidul am yang mahukan EGM. Bayangkan, isu-isu berbangkit berkaitan bajet negara pun jadi kecil. Kebetulan pula dia melibatkan nama tokoh-tokoh besar iatu Exco kerajaan negeri dan Pesuruhjaya PAS Selangor. Sebenarnya banyak lagi kes-kes lain dan tokoh-tokoh lain juga yang sedang disiasat.


Ada yang berpendapat isu asalnya yang menjadi kontroversi selama ini sudah dikecilkan. Mula-mula EGM ke mesyuarat khas dan kemudiannya dia jadi seminar. Jadi seolah-olah cerita atau masalah begitu besar, tiba-tiba cuba diselesaikan melalui medium yang kecil sehinggakan kononnya ada yang tidak bersetuju. Betul begitu Dato'?

Pertamanya Mursyidul Am sendiri dalam mesyuarat khas itu bersetuju tidak ada EGM dan beliau sendiri sangat puas hati. Kalau Mursyidul Am pun setuju, takkan ahli lain tak setuju.

Keduanya, kalau hendak diadakan EGM kita kena tengok sebab apa. Keperluaan EGM ialah untuk membuat pindaan perlembagaan atau hilang kepercayaan kepada kepimpinan. EGM Umno untuk pinda perlembagaan EGM MCA kerana hilang kepercayaan kepada pemimpin mereka. Sedangkan apa yang berlaku dalam PAS ini masalah disiplin. Isu-isu yang dibangkitkan dan nama-nama melibatkan mereka yang berjawatan yang dilantik, bukan jawatan dipilih. Jadi dia isu biasa sahaja yang boleh diselesaikan melalui saluran parti. Jika mesyuarat penuh parti dan lembaga disiplin mendapati ada kes, kita akan bertindak. Betul atau tidak kita kenalah siasat dulu sebab Nabi sebut dalam Hadis pun lebih baik tersilap melepaskan orang bersalah daripada kita tersilap menghukum orang yang tidak bersalah.

Bagi Seminar Memperkasakan parti itu kita buat format seluruh kepimpinan PAS seluruh negara hadir dan dan konsepnya terbuka. Wakil tokoh-tokoh luar juga dijemput membentangkan pandangan dan kita bagi peluang perwakilan boleh berbahas ucapan dasar presiden. Jadi konsepnya hampir sama dengan muktamar agung cuma yang berbeza dia tidak ada pemilihan.


Jadi apakah Datuk sendiri berpuas hati dengan Seminar 7 November tempoh hari?

Ya… secara peribadinya saya sangat berpuas hati dengan seminar yang diadakan hari itu, perjalanannya… penghujahan peserta… yang tak puasnya cuma persoalan kekangan masa perlu diatasi pada masa akan datang. Beberapa pandangan akan diteliti oleh jawatankuasa pusat sebagai pelan tindakan. Bagi saya penggulungan presiden sangat baik untuk jadi sandaran perjuangan.

Apa-apapun yang orang cakap, PAS merupakan parti pertama yang berani dikritik dan dimuhasabah secara terbuka dan telus melibatkan semua pimpinan.


Umumnya pada anggapan ramai, Datuk dilihat seorang yang suka berlembut, sangat menjaga hati sahabat dan bertoleransi serta berhati-hati membuat keputusan. Ini satu persepsi. Kini Datuk diamanahkan sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang berperanan menyiasat kesalahan dan menentukan hukuman. Persoalannya bagaimana Datuk menguruskan persepsi ini?

Kita tidak boleh lari daripada persepsi ramai, dalam apa-apapun keputusan persepsi itu tetap ada. Prinsip kita, kita harus balik kepada perlembagaan parti. Sekiranya dalam siasatan kita ada kes kita akan minta yang bersalah membela diri. Dan saya sebenarnya dibantu dalam jawatankuasa ini oleh dua orang peguam, dua orang tokoh ulamak dan seorang veteran bekas pemimpin parti. Jadi saya yakin lembaga disiplin akan berlaku seadil-adil mungkin.


Selama ini Dato' dianggap sebagai 'rising star' atau pemimpin PAS masa depan. Ada yang berpendapat dengan amanah menduduki lembaga disiplin ini boleh merencatkan potensi Dato' untuk masa depan. Contohnya belum dibuat keputusan sudah ada yang menganggap Dato' begitu dan begini, ini persoalan persepsi juga. Apa komen Dato'?

Soal kepimpinan masa depan itu soal lain, soal disiplin soal lain. Saya melihat dalam konteks jawatankuasa disiplin ini perlu diperkasakan sehingga menjadi satu badan dalam parti yang dihormati oleh ahli-ahli. Hingga setakat ini alhamdulillah, beberapa kes kita buat kenyataan baru-baru ini boleh reda. Sikap hormat ahli itu ada. Sebagai contoh bila kes ‘unity gorvernment’ dulu. Bila saya arahkan supaya semua diam dan minta jangan dibangkitkan sebarang kenyataan kontroversi, semua diam. Sekarang kita monitor beberapa orang yang dikaitkan dengan kes ini kerana dianggap boleh mengganggu siasatan.


Selepas PRU 2008 dimana Pakatan Rakyat mendapat sokongan besar rakyat. Apabila berlaku lompatan ahli-ahli daripada parti dalam Pakatan, wakil-wakil rakyat PAS terus utuh dan istiqamah, tidak ada yang melompat. Ini sebenarnya menaikkan lagi imej PAS di mata umum. Malangnya dalam parti pula, berlaku sedikit kekeruhan. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

Faktor pertama, kekeruhan yang belaku ini dipengaruhi oleh media dan blog. Keduanya, bila isu yang dibangkitkan itu isu berijtihad jadi berbezanya dari sudut pandangan. Contohnya satu pandangan merasakan kalau begini-begini PAS untung, sedangkan pandangan satu lagi merasakan tindakan itu akan merugikan PAS dan Pakatan secara keseluruhan. Jadi saya tengok perbezaan pandangannya di situ.

Cuma saya cukup bimbang dalam konteks parti, saya harapkan supaya ahli-ahli parti tidak cuba mewujudkan kelompok atau kumpulan dalam parti. Kita boleh berbeza pendapat tetapi kita kena menghargai nilai-nilai akhlak jamaah kita kena utamakan nilai-nilai akhlak berjamaah. Kita tegur, kita kritik sahabat kadang-kadang over sangat lebih daripada kita kritik musuh kita.

Apa pun kita kita kena muliakan sahabat mungkin kerana usianya, kedudukannya… jadi perkara-perkara itu perlu kita hargai. Dalam jamaah Islam kita ada etika dan kita terikat dengan adab-adab yang mesti dipatuhi oleh semua ahli parti. Jadi jangan kerana kita tidak bersetuju dengan sekumpulan lalu kita membelakangi akhlak-akhlak berjamaah. Jadi saya fikir mungkin parti juga kena lihat supaya banyakkan majlis-majlis yang bersifat lebih merapatkan ukhuwah, sebagai contoh hidupkan semula mukhaiyam, rehlah, tamrin majlis-majlis zikir qiyamullail dan munajat bagi pimpinan dan keluarga masing-masing supaya kita tidak hanya berjumpa hanya dalam mesyuarat-mesyuarat saja. Sebab saya fikir cabaran masa depan kita pasti akan lebih besar, kelak apabila rakyat bagi mandat nanti itu ujian Allah yang besar. Jadi kalau kita tidak bina kemantapan jiwa yang kuat, ukhuwah jamaah yang tinggi dan toleransi antara pakatan rakyat jadi boleh diambil kesempatan oleh musuh untuk rosakkan Pakatan ini.


Datuk ada menulis menggesa ahli-ahli PAS agar tidak terperangkap dengan agenda musuh. Akhirnya apa nasihat kepada ahli-ahli PAS.

Saya fikir begini, kita habis masa, tenaga dan wang ringgit kita habiskan kepada isu-isu yang berlaku ini meletihkan kita dalam perjuangan. Kita perlu beri perhatian sekarang ini kepada agenda perubahan iaitu masa depan kita menghadapi PRU 13. Apa persiapan kita? Saya bimbang kadang-kadang kerana kita berbincang dan kritik sama-sama kita, kita gagal memberi tumpuan kepada soal-soal asas pilihan raya ini. Sebagai contoh daftar pemilih, soal pengundi, jentera dan sebagainya. Ini benda-benda asas kalau kita gagal beri perhatian nanti dia akan merosakkan tumpuan kita. Jadi itu yang saya timbulkan ada usaha untuk musuh menyelinap masuk di kalangan kita dan mencampakkan idea dan kita pun penat bergelut sesama kita. Dalam PAS ada dan dalam DAP pun ada. Sebenarnya isu ini isu mereka, perpecahan dalam Umno, MIC, MCA, PPP tapi isunya …. sepatutnya kita tidak habiskan masa yang panjang dalam isu ini.

Mudah-mudahan tidak ada lagi selepas ini kenyataan-kenyataan yang membuatkan ahli kita rasa letih dan kepimpinan kita habis tenaga kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Jadi sebab itu kita tidak punya masa yang panjang.

'TABAYYUN' DALAM ISLAM

TAFSIR AYAT 6 HINGGA 8 SURAH A HUJURAT


6. Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.

7. Dan Ketahuilah! bahawasanya Dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu Dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara Yang diwahyukan kepadaNya, dan kamu Wahai orang-orang Yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara Yang kamu cintai serta di perhiaskannya Dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara Yang kamu benci; mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang tetap menurut jalan Yang lurus; -

8. (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.



ASBABUL NUZUL AYAT 6

Ayat 6 surah al hujurat mengajar kita agar berhati-hati dalam menerima berita dari orang-orang fasik. Sebab nuzul atau turunnya ayat ini ialah bersempena kisah seorang muslim yang bernama al Walid bin Uqbah bin Abi Mu’id yang diutuskan oleh Nabi Muhammad salallahu alaihi wasallam untuk memungut harta sedekah dari Bani Mustaliq. Kemudian apabila beliau ke Kampung Bani Mustaliq, tiba-tiba beliau melihat penduduk kampung ramai-ramai keluar untuk menunaikan sedekah. Al Walid menyangkakan mereka sudah murtad lalu lari ke Madinah menghadap Baginda Nabi sallalahu alaihi wasallam, lau menceritakan apa yang berlaku. Setelah mendengar berita itu, baginda mengarahkan kerahan bala tentera untuk menyerang kampung Bani Mustaliq Baginda melantik Khalid al Walid sebagai pemimpin bala tentera. Khalid Al Walid bertindak menghantar perisik ke kampung tersebut untuk menyiasat apa yang berlaku. Sesampainya di sana, mereka terdengar suara azan dan melihat orang kampung menunaikan solat. Ternyata mereka tidak murtad sebagaimana didakwa oleh Walid bin Uqbah. Lalu Khalid al Walid dan bala tentera Islam kembali ke Madinah bertemu Rasulullah. Kemudian Allah menurunkan ayat 6 surah al hujurat sebagai teguran dan panduan buat orang beriman dalam menerima khabar berita dari orang fasik.


PENGERTIAN FASIK

Fasik ialah orang yang keluar dari garis panduan Islam. Menurut syara’, fasik ialah orang yang mengerjakan dosa-dosa besar atau mengekalkan dosa-dosa kecil.


PENGAJARAN

Sabda nabi sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud, ”Berhati-hati itu dari Allah dan terburu-buru itu dari syaitan.”

Kalau di zaman Rasulullah sudah ada orang-rang Islam yang membawa berita palsu dan tidak betul, maka di zaman kita ini lebih-lebih lagi, terutamanya melalui media massa yang ada sekarang ini seperti tv dan akhbar. Ditambah pula dengan teknologi internet yang sedang berkembang maju, dunia hanya di hujung jari, berita-berita cepat tersebar tanpa mempedulikan sama ada betul atau tidak. Yang penting ialah sensasi berita itu. Kebenaran menjadi perkara kedua dalam pertimbangan. Sebahagian rakyat bagaikan mendapat kedai kopi kedua di mana mereka bincangkan isu-isu semasa sama ada politik, ekonomi, sosial, agama dan lain-lain dalam internet.

Lebih teruk lagi, ada individu tertentu seolah-olah menjadikan internet terutamanya blog-blog sebagai tempat menyelesaikan masalah dalaman gerakan Islam. Blog dan laman web sebagai media baru sangat berkesan dalam menyampaikan maklumat-maklumat terkini kepada masyarakat. Keburukannya ialah mereka tidak dapat membezakan yang mana benar dan yang mana salah. Ini kerana hilangnya kemahiran yang diajar oleh Allah s.w.t. melalui ayat di atas agar kita menyelidik berita yang disampaikan, lebih-lebih lagi di zaman kefasikan masa kini.


TAFSIR AYAT 7

7. Dan Ketahuilah! bahawasanya Dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu Dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara Yang diwahyukan kepadaNya, dan kamu Wahai orang-orang Yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara Yang kamu cintai serta di perhiaskannya Dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara Yang kamu benci; mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang tetap menurut jalan Yang lurus; -

Rasulullah masih ada di kalangan kamu, maka janganlah ada di kalangan kamu yang membohongi Rasulullah s.a.w. Kamu hendaklah memaklumkan kepadanya berita yang sebenar. Menerima berita yang sebenar daripada pengajaran yang sebenar. Kalau kamu mendustakan Rasulullah s.a.w, maka Alah Maha Mengetahui dan Allah akan mendedahkan kerja-kerja tidak betul yang kamu lakukan.

Allah ta’ala menyatakan sekiranya Rasulullah s.a.w. taat kepada kamu dalam banyak perkara atau dengar percakapan kamu semuanya, nescaya akan berlaku perkara-perkara yang berat ke atas kamu dari kesilapan-kesilapan yang diambil oleh Rasulullah tentang berita yang kamu bawakan. Kalaulah Rasulullah s.a.w. percayakan berita al Walid bin Uqbah, kemudian mengarahkan Khalid al Walid lancarkan serangan ke atas penduduk Kampung Bani Mustaliq itu tanpa usul periksa terlebih dahulu, sudah tentu ramai orang beriman akan dibunuh.

Seterusnya Allah ta’ala menjadikan perasaan kamu itu kasih kepada iman sehingga kamu tidak membohongi Rasulullah s.a.w. Kamu tidak menyampaikan berita-berita yang tidak betul kerana Allah ta’ala telah menjadikan iman itu suatu perkara yang kamu kasih. Kalau tubuh badan kita ini ada perhiasan yang zahir, maka perhiasan di dalam hati kita ialah iman dan perhiasan itu adalah kurniaan daripada Allah ta’ala.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud: ” Alah ta’ala menjadikan kebencian dalam diri kamu terhadap kekufuran , kefasikan dan penderhakaan.” Allah ta’ala menjadikan dalam hati orang-orang yang beriman itu benci kepada kufur, benci maksiat dan benci kepada fasik. Ini adalah suatu sifat yang Allah ta’ala jadikan di dalam hati-hati orang yang beriman. Hasil daripada pemberian Allah ta’ala ini menyebabkan seseorang itu melihat perkara kufur, maka dia akan benci dan marah. Kalau sekiranya dia melihat perkara-perkara tersebut dan ia terasa ingin melakukannya, maka sudah tentu dalam dirinya mempunyai hati yang kotor dan keji. Tetapi Allah ta’ala menjadikan dalam hati kita benci melihat kepada kufur, maksiat dan sebagainya. Semuanya ini adalah kurniaan daripada Allah azza wajalla.

Allah berfirman lagi yang maksudnya: ”Mereka itulah orang yang berada di atas jalan yang lurus dan betul.”

Makna al Rasyidun ialah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus iaitu jalan siratal mustaqim, orang-orang yang beristiqamah, orang yang duduk di atas jalan yang betul dan sentiasa berdiri teguh di atas jalan yang lurus itu. Bukanlah kita duduk di atas jalan yang betul andai pegangan kita terhadap Islam tidak teguh dan kukuh, ibaratnya seperti angin, apabila dia bertiup ke arah timur, maka dia condong ke sebelah timur dan begitulah sebaliknya. Maksud berdiri atas jalan yang betul ialah tegak atas pegangan yang betul.


TAFSIR AYAT 8

8. (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Perasaan suka kepada iman dan benci kepada kufur merupakan antara kurniaan Allah yang paling besar kepada kita. Nikmat lain yang kita perolehi atas mukabumi ini tidak kekal lama seperti nikmat makan, ia akan hilang apabila ia masuk ke dalam perut. Nikmatnya hanya di mulut sahaja. Adapun nikmat Iman, ia berkekalan, berpanjangan sampailah kita ke dalam kubur, bahkan tetap bersama-sama kita di hari akhirat.


Wallahu a’lam.

Blogger Terengganu

Blog Parti

Blog Pimpinan PR

` ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO