Sunday, November 22, 2009
PERSEPSI DALAM AL QUR'AN(Tafsir Ayat 12 al hujurat)
12. Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
TAKRIF SANGKAAN
Sangkaan ialah Persepsi atau tanggapan. Ia terbahagi kepada sangkaan baik dan sangkaan buruk. Sangkaan buruk(prasangka) akan menjadi topik perbincangan dalam artikel ini.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, prasangka ialah sangka (anggapan) buruk terhadap sesuatu (seseorang) sebelum mengetahui (menyelidiki yang sebenarnya). Sedangkan berprasangka ialah menaruh prasangka. Adapun keprasangkaan pula ialah sifat (rasa) prasangka.
ASBABUL NUZUL
Setengah ulama’ mengatakan ayat ini diturunkan kepada dua orang sahabat nabi s.a.w. Sudah menjadi kebiasaan, apabila bermusafir, Rasulullah akan mencampurkan sahabatnya yang susah dengan sahabat yang senang. Ini bertujuan untuk menanamkan sifat ukhuwwah di antara satu sama lain. Orang yang senang akan menolong saudaranya yang susah. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah meletakkan Salman al farisi dengan dua orang lelaki dari kalangan sahabat yang dianggap lebih berada daripada Salman al farisi ketika itu.
Di sepanjang perjalanan dalam musafir itu berlaku suatu peristiwa di antara Salman dengan dua sahabat tadi di mana mereka terlewat bangun tidur, sedangkan Salman ditugaskan untuk menyediakan makanan buat mereka. Kedua-dua sahabat tadi menyuruh Salman bertemu Rasulullah untuk mengambil makanan. Apabila sampai, Rasulullah memberitahu Salman bahawa makanan telah habis, lalu menyuruhnya berjumpa dengan Usamah bin Zaid (ditugaskan menjaga perbekalan).
Salman pun pergi berjumpa dengan Usamah sebagaimana diarahkan nabi, tetapi malangnya Usamah juga menyatakan makanan sudah habis. Lalu Salman balik dalam keadaan tiada makanan bersamanya. Dua sahabat tadi menuduh Salman bakhil kerana sengaja tidak mahu memberi mereka makanan. Akhirnya Salman dihantarkan pula kepada sahabat-sahabat lain untuk memperolehi makanan. Dalam keadaan ketiadaan Salman, dua sahabat tadi bercakap-cakap pula mengenai Salman dengan tidak mengharapkannya lagi.
Rasulullah s.a.w. telah melihat telatah kedua orang sahabat itu, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kedua orang sahabatnya:
ما لي أري خضرة اللحم في أفواهكما
Maksudnya:
”Aku melihat kamu berdua sedang memakan daging.”
Lalu sahabatnya berkata:
يا نبي الله و الله ما أكلنا فى يومنا هذا لحما و لا غيره
Maksudnya:
“Wahai nabi Allah, kami tidak makan apa-apa lagi pada hari ini sama ada dagingatau makanan yang lain.”
Rasulullah menjawab:
ولكنكما ظلمتما تأكلان لحم سلمان و أسامة
Maksudnya:
“Tetapi kamu berdua berlaku zalim dan kamu telah memakan daging saudara kamu iaitu Salman al Farisi.”
Lalu Allah turunkan ayat 12 surah al Hujurat sebagaimana di atas. Ia menunjukkan kepada kita betapa besarnya dosa mengumpat sehingga digambarkan seolah-olah kita memakan daging saudara kita sendiri.
TAFSIR AYAT
As Sobuni menyebutkan : Jauhilah kamu dari tohmahan, khianat dan buruk sangka terhadap keluarga dan manusia. Diibaratkan dengan banyak (كثيرا ) di sini untuk mengambil langkah berhati-hati kepada setiap zhan atau sangkaan dan jangan terlalu gopoh membuat kesimpulan sehinggalah disiasat dan dipastikan kebenaran sangkaan itu. Ini kerana sebahagian zhan merupakan dosa yang mengakibatkan tuannya dengan hukuman Allah s.w.t. sama ada di dunia dan di akhirat.
Ia ada kaitan dengan konsep tabayyun(tindakan menentukan sama ada khabar berita benar atau salah) dalam ayat keenam surah yang sama.
Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat di atas, sebahagian sangkaan adalah dosa. Bermakna ada sangkaan yang membawa dosa dan ada sangkaan membawa pahala. Yang membawa dosa sudah tentulah sangkaan yang buruk atau disebut prasangka. Manakala yang membawa pahala dipanggil sangkaan baik. Dalam istilah arab, sangka buruk ialah su’uzzhan((سوء الظن, manakala sangka baik ialah husnuzzhan( حسن الظن).
Contoh prasangka : Seseorang yang berjanji untuk datang mesyuarat pada jam 3 petang. Tiba-tiba dia datang lewat. Ahli mesyuarat yang menunggu berprasangka kepada beliau dengan mengatakan beliau seorang yang tidak menjaga waktu dan tidak menghormati ahli mesyuarat sedangkan kemungkinan-kemungkinan yang lain masih ada. Mungkin beliau kesesakan lalulintas dan sebagainya.
Allah jalla wa ’ala memerintahkan orang yang beriman menjauhi sangkaan kerana kebanyakan sangkaan merupakan DOSA! Daripada sangkaan tadi, timbul pula keinginan untuk mengintip-intip dan mencari-cari keburukan orang. Lalu apabila terbongkar, terus disebarkan kepada umum menyebabkan aib kepada si mangsa intipan. Inilah yang dilarang keras dalam agama. Ia termasuk dalam dosa ghibah atau mengumpat kalau yang dibongkar itu benar. Kalau berita itu palsu, maka ia termasuk dalam namimah atau fitnah. Allah subhanahu wa ta’ala menyamakan orang yang mengumpat dengan perbuatan memakan daging saudaranya! Di akhir ayat, Allah menyeru agar orang beriman bertaqwalah kepadaNya. Sesungguhnya Allah maha menerima taubat dan maha mengasihani.
DUNIA PERSEPSI
Kini, istilah persepsi sangat popular dalam masyarakat. Sebenarnya konsep ini sudah lama berlegar dalam sistem sosial kita. Bahkan ia wujud dalam mana-mana masyarakat dalam dunia sekalipun. Persepsi atau tanggapan atau sangkaan merupakan istilah-istilah yang membawa erti yang sama. Ia boeh jadi baik dan boleh jadi juga buruk. Kalau buruk persepsi, maka natijahnya buruk. Begitulah sebaliknya. Pandangan masyarakat umum terhadap sesuatu isu atau individu, kelompok masyarakat bergantung kepada persepsi yang menguasai minda mereka. Persepsi boleh diterjemahkan sebagai ’bagaimana kita melihat sesuatu’. Perkara yang sama boleh melahirkan persepsi yang berbeza bergantung kepada cara pemikiran seseorang. Ia mungkin positif, dan mungkin juga negatif! Yang negatif inilah dipanggil sangka buruk atau suu’uzzhan.
Mungkin masyarakat tidak merasakan dosa berprasangka buruk merupakan dosa yang besar kerana ia sudah menjadi darah daging mereka, sedangkan Rasulullah pernah bersabda, ”اياكم و الظن فان الظن أكذب الحديث”. Maksudnya: ”Awasilah kamu daripada berprasangka, kerana prasangka adalah sebohong-bohong ucapan.”(Muttafaqun alaihi).
Bahkan Allah jalla wa ’ala berfirman dalam ayat 116 surah al An’am,
116. Dan jika Engkau menurut kebanyakan orang Yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah Yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.
Al Sobuni menjelaskan bahawa jika kita taati golongan kafir yang jumah mereka ramai di muka bumi nescaya mereka menyesatkan orang beriman dari petunjuk Allah.
Masyarakat Islam kini banyak dipengaruhi oleh cara berfikir yang diwarisi dari barat. Pendidikan sains sosial rata-ratanya diambil dari idea-idea cendekiawan barat yang mewarnai silibus pembelajaran ilmu psikologi di institusi pengajian tinggi. Lalu lahirlah ramai doktor-doktor dan profesor-profesor Islam tetapi celupannya barat, mempromosikan ilmu dan cara berfikir ala kebaratan. Sehingga timbul ungkapan, ” Sesiapa yang tidak percayakan persepsi, maka ia adalah primitif.” Ini sangat bertentangan dengan apa yang diajar oleh Allah melalui ayat-ayat dalam surah al hujurat ini. Bagaimana mungkin kita mahu berkiblatkan orang barat dan pemikiran mereka sedangkan mereka sekali-kali tidak mengikut kaedah Islam dalam isu zhan ini melainkan hanyalah sangkaan dan waham yang mereka warisi dari nenek moyang mereka sehingga mereka merasakan berada atas jalan kebenaran. Padahal merekalah orang-orang yang berdusta atas nama ilmu sains sosial.
Adakah boleh kita katakan sesuatu itu adalah benar hanya kerana majoriti masyarakat mengatakan benar? Contohnya seorang muslim yang tinggal di negara yang majoritinya kristian, adakah wajib dia mengikut persepsi masyarakat negara itu yang memandang semua orang Islam adalah ganas? Sudah tentu tidak.
PERSEPSI BERUBAH MENJADI INFORMASI
Sebuah hadis qudsi menyebut, "انا عند ظن عبدي بي ان ظن خيرا فله و ان ظن شرا فله- رواه أحمد"
yang maksudnya, ”Aku di sisi(sebagaimana) sangkaan hambaKu denganKu, sekiranya dia(hambaKu) bersangka baik, maka baginya(natijah baik), dan sekiranya dia bersangka buruk, maka baginya juga(natijah buruk)”. Hadis Qudsi ini mengajar kita agar berfikiran positif kerana Allah redha dengan sangkaan baik dan murka dengan sangkaan buruk. Sekiranya kita berfikiran negatif, maka ia membentuk informasi yang salah dalam masyarakat. Menurut kajian barat, proses persepsi boleh ’mengubah’ apa yang manusia lihat. Apabila kita melihat sesuatu dengan konsep yang telah diprasangkakan, kita akan anggap prasangka itu sebagai maklumat atau fakta. Keadaan ini berlaku oleh kerana manusia mampu untuk memahami informasi baru tanpa ‘the inherent bias of their previous knowledge’ (pengetahuan lampau tentang sesuatu yang diwarisi secara berpihak).
Ada orang yang berhujjahkan hadis ini untuk menjustifikasikan bahawa benarnya konsep persepsi berubah menjadi informasi atau fakta. Kalaulah begitu, biarlah kita menjadi warga yang sentiasa berpersepsi baik agar natijahnya baik. Melainkan kita memang berniat untuk membentuk persepsi buruk terhadap individu atau organisasi tertentu.
Peranan media sangat penting dalam membentuk persepsi yang baik dalam masyarakat. Apa yang sering media paparkan, itulah yang akan menguasai minda masyarakat umum. Kesimpulannya, apa yang bermain di minda masyarakat, kemudian menjadi informasi dan fakta bagi mereka, tidak semestinya benar dan baik di sisi Islam.
Ini merupakan suatu cabaran yang sangat besar dan getir bagi umat Islam khususnya pendokong perjuangan Islam untuk membentuk persepsi yang baik di kalangan masyarakat terhadap apa yang mereka bawa selama ini agar diterima ramai dengan baik.
Ya Allah, peliharakanlah kami dari sangkaan yang buruk.
Naib Presiden: Kritikan dalaman PAS ‘melampau’ sampai lupa musuh
Petikan Malaysianinsider
KUALA LUMPUR, Nov 20 — Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kini sudah terdapat unsur-unsur pihak luar "menyelinap masuk" ke dalam parti itu untuk mencetuskan isu-isu dalaman, yang dipercayai berjaya mengalihkan persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Oleh itu, kata beliau, ahli parti itu di semua peringkat hanya "bergelut" sis-sia untuk menyelesaikan isu-isu tidak berbaloi yang dicetuskan oleh musuh-musuh PAS.
Bagaimanapun beliau tidak menamakan siapa musuh yang dimaksudkan itu.
"Jadi itu yang saya timbulkan ada usaha untuk musuh menyelinap masuk di kalangan kita dan mencampakkan idea dan kita pun penat bergelut sesama kita.
"Dalam PAS ada dan dalam DAP pun ada," kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS sambil menambah, kepimpinan parti itu menghabiskan masa dengan cuba menyelesaikan isu-isu yang sengaja dicetuskan.
Awal bulan ini PAS telah mengadakan seminar politik sebagai ganti kepada Muktamar Agung Luar Biasa yang disyorkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membersihkan beberapa pemimpin kanan parti itu.
Nik Aziz pula kini berhadapan dengan isu pengurusan Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan tajaan buat beliau mengerjakan haji.
"Saya fikir begini, kita habis masa, tenaga dan wang ringgit kita habiskan kepada isu-isu yang berlaku ini meletihkan kita dalam perjuangan," kata Tuan Ibrahim.
Justeru Tuan Ibrahim berkata, mulai sekarang pemimpin-pemimpin PAS perlu memberi perhatian terhadap agenda perubahan iaitu masa depan menghadapi pilihan raya umum ke-13.
"Apa persiapan kita? Saya bimbang kadang-kadang kerana kita berbincang dan kritik sama-sama kita, kita gagal memberi tumpuan kepada soal-soal asas pilihan raya ini.
"Sebagai contoh daftar pemilih, soal pengundi, jentera dan sebagainya. Ini benda-benda asas, kalau kita gagal beri perhatian nanti dia akan merosakkan tumpuan kita," kata beliau dalam temu bual dengan Sidangonline.
Tuan Ibrahim kini berada di Mekah untuk menunaikan haji.
"Sebenarnya isu ini isu mereka, perpecahan dalam Umno, MIC, MCA, PPP tapi isunya ... sepatutnya kita tidak habiskan masa yang panjang dalam isu ini.
"Mudah-mudahan tidak ada lagi selepas ini kenyataan-kenyataan yang membuatkan ahli kita rasa letih dan kepimpinan kita habis tenaga kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Jadi sebab itu kita tidak punya masa yang panjang," katanya lagi.
Dalam temu bual itu, Tuan Ibrahim juga berkata, beliau "cukup bimbang dalam konteks parti" ekoran wujudnya elemen-elemen berpuak di kalangan ahli dan pemimpin.
"Saya harapkan supaya ahli-ahli parti tidak cuba mewujudkan kelompok atau kumpulan dalam parti. Kita boleh berbeza pendapat tetapi kita kena menghargai nilai-nilai akhlak jamaah kita kena utamakan nilai-nilai akhlak berjamaah.
"Kita tegur, kita kritik sahabat kadang-kadang 'over' sangat, lebih daripada kita kritik musuh kita.
"Apa pun kita kita kena muliakan sahabat mungkin kerana usianya, kedudukannya... jadi perkara-perkara itu perlu kita hargai," kata Tuan Ibrahim.
Mengambil kira pendekatan Islam, tegas beliau, ada etika dan adab yang mesti dipatuhi oleh semua ahli parti.
"Jadi jangan kerana kita tidak bersetuju dengan sekumpulan lalu kita membelakangi akhlak-akhlak berjamaah," kata Tuan Ibrahim lagi sambil menambah, "jadi saya fikir mungkin parti juga kena lihat supaya banyakkan majlis-majlis yang bersifat lebih merapatkan ukhuwah."
Mengenai Jawatankuasa Disiplin, Tuan Ibrahim menjelaskan ia perlu diperkasakan sehingga menjadi satu badan dalam parti yang dihormati oleh ahli-ahli.
"Hingga setakat ini alhamdulillah, beberapa kes kita buat kenyataan baru-baru ini boleh reda. Sikap hormat ahli itu ada.
"Sebagai contoh bila kes kerajaan perpaduan... bila saya arahkan supaya semua diam dan minta jangan dibangkitkan sebarang kenyataan kontroversi, semua diam," katanya.
Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya sedang memantau beberapa orang yang dikaitkan dengan kes ini kerana dianggap boleh mengganggu siasatan.
Pemuda PAS desak Peguam Negara dihadap ke Tribunal
| Harakahdaily |
| KUALA LUMPUR, 22 Nov: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mendesak agar Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dihadapkan segera ke Tribunal yang dibentuk berdasarkan peruntukan yang sama seperti proses pemecatan hakim Mahkamah Persekutuan. Ketuanya, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan berkata, desakan ini dibuat kerana Abdul Gani, selaku penasihat undang-undang utama kepada kerajaan telah gagal menjalankan tugas dengan baik dalam memberikan nasihat perundangan yang tepat dan selaras dengan undang-undang yang sebenar sehingga menjejaskan imej kerajaan. Kegagalan ini tegasnya dapat dilihat dalam dua keputusan Mahkamah Tinggi yang terbaru, iaitu dalam kes semakan kejhakiman terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Kedah dan kes saman yang dikemukakan Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPR dan SPRM yang diwakili Peguam Negara telah kalah dalam perbicaraan kedua-dua kes tersebut. "DPP memandang serius implikasi dari dua keputusan Mahkamah Tinggi ini. Jelas menunjukkan bagaimana Peguam Negara selaku penasihat undang-undang utama kepada kerajaan sebagaiamana yang diperuntukkan dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, gagal melaksanakan tugasnya," katanya. DPP turut mempersoal nasihat perundangan oleh peguam negara kepada SPR berkenaan pentafsiran Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah sedangkan peruntukan tersebut adalah jelas bahwa seseorang ADUN Kedah yang gagal menghadiri mesyuarat DUN dua kali berturut-turut tanpa mendapat kebenaran dari Speaker, secara automatik hilang kerusinya. SPR sebaliknya mentafsirkan maksud "dua persidangan berturut-turut" mengikut Perkara 51 sebagai dua sesi berasingan. "Timbul persoalan apakah nasihat undang-undang oleh Peguam Negara, diberikan secara profesional ataupun didasari oleh sentimen politik semata-mata untuk mempertahankan tindakan kerajaan dan agensinya?" soalnya. DPPP berpandangan, meskipun jawatan Peguam Negara dilantik oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, namun jawatan tersebut tetap merupakan public office yang mesti mempunyai akauntabiliti moral terhadap rakyat Malaysia. "Di dalam keadaan ini di mana Peguam Negara gagal menjalankan tugas dengan baik hingga mendatangkan kerugian kepada kerajaan yang kosnya turut ditanggung oleh rakyat, maka DPPP merasakan adalah wajar secara moralnya untuk Peguam Negara meletakkan jawatan serta merta," tegasnya. Dalam amalan biasa juga ujarnya, mana-mana peguam yang memberikan nasihat perundangan yang salah dan silap kepada anak guamnya, maka ianya dianggap sebagai suatu professional negligence (kecuaian profesional) yang membolehkan anak guam tersebut mengambil tindakan undang-undang terhadap peguam yang terbabit. SPR dalam kes ini diwakili peguam kanan persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said. Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini. Manakala Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM berhubung kuasa suruhanjaya tersebut untuk menyoal saksi tanpa henti sepanjang malam. Beliau merupakan salah seorang saksi yang disoal siasat berhubung kematian pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock Julai lalu. |
Saturday, November 21, 2009
Mengurus Persepsi . Bhg 3
Tok Guru buat kesimpulan : " kamu jangan peduli apa orang nak kata , tapi yang penting kamu mesti benar dan ikhlas . "
Mengurus Persepsi . Bhg 2
14. Ertinya Nabi saw tidak pragmatik untuk menukar haluan perjuangan atau memperlahankan rentak perjuangan semata - mata kerana mengambil kira persepsi masyarakat jahiliyyah pada waktu itu . Sebaliknya Nabi saw tegas dan berani mengambil risiko demi membawa misi menyelamatkan aqidah ummah .
Mengurus Persepsi . Bhg 1
1. Akhir - akhir ini selalu kedengaran orang bercakap soal politik itu adalah persepsi . Baru - baru ini isu persepsi jua menjadi perbahasan penting dalam Seminar Pemerkasaan Parti [ PAS ] di Taman Melewar . [ 7 Nov 2009 ]








