Monday, December 7, 2009

Pemuda PAS Desak Najib Selesai Isu Selatan Thailand

Petikan MalaysianInsider

PETALING JAYA, Dis 8 - Dewan Pemuda PAS mahu kerajaan Malaysia dalam rangka usaha untuk membantu menyelesaikan konflik selatan Thailand memperjelaskan tentang konsepnya secara jelas dan tegas bagi mencari kedamaian berkekalan di wilayah tersebut.

Esok, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini berada di Bangkok akan melawat selatan Thailand.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata pihaknya tidak mahu pendirian Malaysia “hanya sekadar seperti mahu melepaskan batuk di tangga atau hanya mengambil kulit bagi konsep tersebut tetapi meminggirkan isi sebenar konsep autonomi tersebut iaitu hak mutlak autonomi mentadbir sendiri wilayah-wilayah umat Islam di selatan Thailand.”

Raja Ahmad berpendapat lawatan rasmi Najib adalah satu usaha yang harus dipuji dalam memberi jalan keluar terhadap sengketa terpimpin dalaman kerajaan Thailand terhadap umat Islam selatan Thailand.

“Namun Dewan Pemuda PAS pusat ingin menegaskan bahawa kerajaan Malaysia dalam menganjurkan cadangan ‘autonomi’ sebagai alternatif bagi menyelesaikan konflik tersebut, perlulah diperjelaskan akan konsepnya secara jelas dan tegas dan bukan hanya sekadar seperti mahu melepaskan batuk di tangga atau hanya mengambil kulit bagi konsep tersebut tetapi meminggirkan isi sebenar konsep autonomi tersebut iaitu hak mutlak autonomi mentadbir sendiri Wilayah-wilayah umat Islam di selatan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Raja Ahmad memberitahu Dewan Pemuda PAS tidak bersetuju sekiranya kerajaan Malaysia hanya mengesyorkan beberapa elemen seperti autonomi dalam pendidikan dan bahasa atau sosial seperti mana yang diwar-warkan dalam media.

“Adalah diharapkan pisang tidak berbuah dua kali sepertimana yang berlaku di Mindanao dahulu apabila umat Islam dibohongi dengan disajikan autonomi kuda kayu melalui perakuan autonomi di antara Kerajaan Filipina dengan MNLF pimpinan Nur Misuari yang jelas membohongi umat Islam di Mindanao.

“Kerajaan Malaysia diharapkan tidak terperangkap dengan agenda Perdana Menteri Thailand yang jelas kelihatan terdesak untuk menagih undi umat Islam selatan Thai bagi menghadapi pilihan raya Thailand tahun depan,” katanya.

Najib tiba di Bangkok malam tadi untuk lawatan rasmi pertamanya ke Thailand.

Laporan Bernama menyebut, mesyuarat hari ini dijangka membincangkan beberapa isu terutama kerjasama dalam keselamatan, termasuk keselamatan di sempadan dan isu merentas sempadan seperti penyeludupan manusia dan dadah serta maritim.

Selain itu, kedua-dua pihak kemungkinan besar akan membincangkan mengenai kerjasama masa depan dalam bidang pendidikan tinggi, belia dan sukan, serta mengenai projek landasan Singapura-Kunming, industri halal dan menghubungkan

Pembangunan Selatan Thai dengan Koridor Ekonomi Pantai Timur dan Utara Malaysia.

Esok Perdana Menteri Thai Abhisit Vejjajiva dan Najib akan melawat ke wilayah bergolak Narathiwat, lawatan pertama perdana menteri Malaysia ke wilayah sempadan Thailand itu.

Abhisit dalam temu bual dengan Bernama semalam berkata lawatan ke Narathiwat amat signifikan dan akan menghantar isyarat jelas bahawa kedua-dua negara mahu menyaksikan keamanan di wilayah itu dan berakhirnya keganasan di sana.

Kedua-dua pemimpin akan bersama-sama merasmikan penamaan semula jambatan kedua merentasi Sungai Golok iaitu “Friendship Bridge” yang menghubungkan Ban Buketa, Narathiwat dan Bukit Bunga, Kelantan.

Mereka turut dijadual melawat Institut Att Arkiah Islamiah, yang mempunyai lebih 4,000 penuntut dan kokurikulum dalam pengajian Islam dan mata pelajaran moden.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Blogger Terengganu

Blog Parti

Blog Pimpinan PR

` ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO