Thursday, November 26, 2009

PERUTUSAN AIDIL ADHA 1430


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad, ahli keluarganya, para sahabatnya, para tabi'in dan muslimin yang mengikuti jejak mereka dengan ihsan.
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Alangkah beruntungnya kita pada hari ini. Kita berada di salah satu dari dua hari perayaan yang dianugerahkan Allah kepada umat Muhammad sebagai ganti kepada dua perayaan jahiliah silam. Saya bagi pihak DEWAN PEMUDA PAS NEGERI TERENGGANU mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua dengan kehadiran hari yang mulia ini. Moga-moga Allah menerima amalan kita dan amalan semua muslimin yang merayakan hari ini dengan penuh kesyukuran di dalam batasan syariat yang ditetapkan oleh Allah.

Muslimin muslimat yang dikasihi sekelian,

Kita sudah pun melepasi 10 hari terawal dalam bulan Zulhijjah. Beruntunglah sesiapa yang mengisinya dengan puasa dan tilawah. Berbahagialah sesiapa yang mengisinya dengan zikir dan istighfar. Sabda Rasulullah s.a.w. sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a.:

"Tidak ada hari di mana amal soleh yang dilakukan di dalam hari tersebut lebih dicintai oleh Allah daripada hari-hari ini (10 hari terawal bulan Zulhijjah)." Sahabat bertanya: "Walau pun jihad wahai Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Walau pun jihad di jalan Allah. Kecuali pahala seorang pemuda yang keluar berjihad dengan diri dan hartanya, kemudian dia tidak pulang dan hartanya juga tidak pulang." (Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

Kita mencemburui muslimin lain yang dikurniakan Allah peluang kepada mereka untuk mengerjakan haji di Baitullah. Mereka mengorbankan harta mereka di jalan Allah. Mereka mengorbankan kerehatan mereka untuk menunaikan ibadah badaniah yang berat ini. Perjalanan yang panjang, tidur yang tidak menentu, makan yang tidak berjadual, penyakit yang mengejar mereka dan lain-lain kesukaran yang mereka lalui.



Walau pun begitu Rasulullah s.a.w. telah mengajar umatnya yang tidak menunaikan ibadah haji agar berusaha mengejar pahala yang dikurniakan kepada mereka yang menunaikan haji.

Di antaranya puasa pada 9 hari terawal Zulhijjah termasuk hari Arafah.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Aasyura’, 9 hari terawal bulan Zulhijjah, tiga hari dalam sebulan, dua Isnin dan Khamis terawal dalam sebulan.” (Riwayat Nasa’ie dan Ahmad)

Memandangkan perutusan ini dibuat di saat berlalunya sembilan hari awal Zulhijjah, maka ibadah besar yang masih ada ialah menunaikan ibadah korban selepas menunaikan solat sunat Aidil Adha. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Tidak ada satu amalan anak Adam pada hari Raya Korban yang lebih disukai oleh Allah melebihi amalan menyembelih binatang korban. Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat nanti beserta tanduk, kuku dan bulunya. Darah binatang korban tersebut akan jatuh di satu lantai kemuliaan di sisi Allah sebelum jatuh ke tanah. Maka berbahagialah jiwa dengannya.” (Riwayat Al-Hakim, Ibnu Majah dan Termizi)

Di antaranya bertakbir bermula dari subuh hari Arafah sehingga ke akhir hari Tasyriq. Firman Allah:

"Dan berzikirlah kepada Allah pada hari-hari yang tertentu (Arafah sehingga ke hari Tasyriq...)" (Al-Baqarah: 203)

Di antaranya menunaikan solat sunat Aidil Adha secara berjemaah di kawasan lapang. Firman Allah:

"Maka bersembahyanglah menghadap Tuhanmu dan lakukanlah korban." (Al-Kauthar: 2)

Di antara berjalan menuju ke tempat solat Aidil Adha dan balik melalui jalan yang berlainan kerana itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Di antaranya makan daging korban yang disedekahkan oleh sesiapa yang melakukan korban. Ibnu Qayyim berkata di dalam Zadul Maad:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak menjamah makanan sehinggalah Baginda s.a.w. pulang dari masjid lalu Baginda s.a.w. menjamah daging korban."

Di antaranya mengucapkan tahniah kepada semua muslimin yang ditemui kerana itulah amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. kepada pada sahabatnya r.a.

Di antaranya menjauhi diri dari merayakan Aidil Adha dengan perbuatan yang haram; tidak menonton wayang, tidak melakukan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, tidak mendengar lagu-lagu yang haram dan lain-lain kemungkaran lain.

Hari ini adalah hadiah dari Allah, sambutlah ia dengan amalan taat. Lakukanlah ziarah, rapatkanlah hubungan sesama muslim, gembirakanlah golongan miskin dengan bersedekah kepada mereka dan lakukanlah ibadah dengan sebaiknya.

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Dalam kita bergembira menyambutt Aidil Adha, jangan pula kita lupa kepada mereka yang tidak bernasib baik di musim banjir sekarang ini. Sama-sama lah kita menghayati erti pengorbanan yang sebenarnya. Islam mengajar kita menghulurkan bantuan dari harta benda kita kepada yang memerlukan tidak kira apa bangsa dan agamanya, kerana Imam Nawawi pernah mensyarahkan hadis "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia menyayangi apa yang ada pada saudaranya (sebagaimana)apa yang dia sayangi bagi dirinya.", dengan mengisyaratkan bahawa saudara di sini haruslah diperluaskan skopnya kepada seluruh manusia tidak mengira agamanya. Inilah persaudaraan kemanusiaan. Marilah kita selaku orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat beriltizam untuk membantu mangsa-mangsa banjir ini dengan harta benda dan tenaga yang kita miliki.

Moga-moga Allah menerima amalan kita dan amalan seluruh muslimin.

Ya Allah, ampunilah dosa kami, dosa ibu bapa kami, dosa muslimin dan muslimat samada yang masih hidup atau yang telah mati. Amin ya Rabbal Alamin.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Blogger Terengganu

Blog Parti

Blog Pimpinan PR

` ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO